Umat Islam di Melaka solat Jumaat dikawal rapi

0
392
Md Azahan Samat.

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di semua 212 masjid dan surau di negeri ini yang akan melaksanakan buat pertama kali solat Jumaat (29 Mei) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan 40 kariah terpilih perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM), Datuk Md Azahan Samat berkata, selain polis, anggota Rela dan pegawai daripada JAIM turut ditempatkan di semua masjid dan surau bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan dipatuhi oleh semua jemaah yang terpilih untuk menunaikan solat Jumaat itu nanti.

“Surat pekeliling daripada Jabatan Mufti mengenai garis panduan telah diedarkan lebih awal kepada setiap masjid dan surau untuk diberikan kepada seramai 40 jemaah yang terpilih.

“Justeru, saya minta semua jemaah mematuhi garis panduan yang telah diberikan. Jika mereka engkar atau timbul sebarang masalah maka JAIM tidak teragak-agak akan mengkaji semula SOP yang sedia ada pada solat Jumaat yang akan datang,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Md Azahan menegaskan bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, barah dan sebagainya termasuk yang demam, selsema, sesak nafas serta batuk adalah tidak dibenarkan hadir.

Beliau menambah pihak berkuasa serta JAIM boleh mengarahkan agar sesi solat Jumaat pada hari esok ditangguhkan sekiranya didapati terdapat jemaah yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Saya minta kerjasama daripada jemaah yang terpilih agar membaca SOP yang telah diberikan dan mematuhi garis panduan ditetapkan agar tidak timbul sebarang masalah.

“Jika jumlah jemaah sudah mencukupi 40 orang iaitu tidak termasuk imam 1, imam 2, bilal dan noja tiba ada jemaah yang tidak dijemput turut hadir, pihak berkuasa dan pegawai JAIM akan meminta orang tersebut untuk meninggalkan kawasan masjid ,” ujarnya.

Di samping itu kata Md Azahan, setiap jemaah perlu membawa kad pengenalan untuk ditunjukkan kepada pegawai bertugas di pintu masuk masjid bagi memastikan mereka berusia antara 15 hingga 70 tahun dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata, jemaah perlu akur dengan garis panduan yang diberikan kerana ia bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Ujarnya, bagi jemaah yang tidak mematuhi atau tidak memenuhi kriteria garis panduan ditetapkan mereka tidak akan dibenarkan masuk ke dalam masjid atau surau untuk menunaikan solat Jumaat.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here