Hanya 10 kes baharu Covid-19 tanpa kematian

0
330

PUTRAJAYA — Tiada korban baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban kekal 115 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 10 kes jangkitan baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti ialah 7,629 orang.

“Ingin dimaklumkan semua 10 kes baru yang dilaporkan adalah penularan tempatan, di mana 5 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,345 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 8 di unit rawatan rapi dengan 4 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham mengumumkan 86 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,169 orang sehingga kini atau 80.9% daripada jumlah keseluruhan kes.

Noor Hisham juga berkata sejak hampir sebulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat di negara ini, didapati jumlah kes positif Covid-19 dari 4 Mei sehingga 27 Mei lalu adalah 1,189 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, kes dalam kalangan warganegara hanya 22.7% iaitu 270 kes, manakala 77.3% pula melibatkan kes bukan warganegara iaitu 919 kes termasuk 383 kes bukan warganegara dalam 3 depot tahanan imigresen.

“Sejak bermulanya PKPB, didapati tren penularan Covid-19 di kalangan masyarakat setempat adalah semakin berkurangan dari minggu sebelumnya.

“Ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan kepatuhan orang ramai kepada nasihat, saranan dan SOP kerajaan, serta juga aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Justeru, Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara.

“Sekiranya usaha-usaha ini diteruskan oleh semua dengan sikap dan rasa tanggungjawab sosial, pastinya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan virus Covid-19 di Malaysia,” katanya.

https://bit.ly/3gvESy3
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here