Sudah ‘diketuk’, barulah KHM nak hulur hadiah liga

0
537
MEGAT D. Shahriman Zaharudin (tengah, barisan belakang) meraikan kejayaan bersama Hockademy yang menjuarai saingan wanita LHM 2020 dan naib juara Piala Vivian May Soars, Februari lalu.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

‘SUDAH terantuk, baru tengadah, sudah diketuk, barulah hendak beri hadiah!’
Itupun dengan alasan yang tidak munasabah apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tampil menjawab persoalan ke mana wang hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020, Februari lalu.

Pemilik Hockademy yang terlibat dengan isu wang ini, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin melahirkan reaksi keluhan kecewa bercampur lega dalam siaran media pasukan itu hari ini.

“Saya berterima kasih kerana pada akhirnya Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tampil menjawab dan memberi reaksi selepas gagal berbuat demikian sebelum ini,” rujuknya kepada laporan akhbar harian dan program Blindside RTM, baru-baru ini.

“Alasan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM (Datuk Seri Anil Jeet Singh) berkaitan penularan pandemik Covid-19 sebagai punca kelewatan pembayaran itu, tidak munasabah,” tegasnya yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA).

Hujah Shahriman ialah LHM sudah berakhir 22 Februari lalu dengan KHM mempunyai tempoh kira-kira sebulan untuk menyelesaikan urusan tersebut sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19 pada 18 Mac lalu.

Skuad Hockademy yang dinaungi KLHA menjuarai saingan wanita LHM 2020 namun masih belum meraih hadiah kemenangan RM50,000 dan tambahan RM15,000 kerana muncul naib juara Piala Vivian May Soars – satu sejarah pada penampilan sulung mereka.

“Sebagai pengelola LHM, seharusnya KHM telah merangka awal sistem pembayaran hadiah kemenangan tanpa mengakibatkan semua pasukan khususnya para pemain hoki tempatan menunggu sekian lama.

“Sepatutnya isu itu tidak timbul kerana kebiasaannya pihak penaja pasti telah memberikan wang penajaan sebelum liga berakhir lagi,” kata D. Shahriman.

MEGAT D. SHAHRIMAN ZAHARUDIN

Hockademy tegasnya, turut mempersoalkan kenyataan Anil dalam akhbar itu, semalam bahawa Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal telah menemui wakil penaja utama liga untuk menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat.

“Kami harap KHM dapat menambah baik soal hadiah kemenangan pertandingan ini dan memastikan situasi sebegini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

“Jagalah kebajikan para pemain hoki tempatan khususnya yang bukan bertaraf pemain negara kerana merekalah kelompok yang amat terkesan dengan kelewatan pembayarannya,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here