ADUN Selat Klang, Selangor dikompaun RM1,000 ingkar SOP PKPB semasa Aidilfitri

    0
    305

    SHAH ALAM — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dikompaun RM1,000 kerana menganjurkan jamuan dihadiri lebih 20 tetamu semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata arahan mengenakan kompaun itu dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya hari ini selepas Abdul Rashid didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

    “Kita terima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk mengkompaun beliau (Abdul Rashid) selaku penganjur jamuan sambutan Aidilfitri berkenaan.

    “Polis akan menghubungi Abdul Rashid untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi dikeluarkan surat kompaun itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Menurut Baharudin, berdasarkan siasatan dijalankan tetamu yang hadir ke kediaman rasmi exco di Seksyen 7 di sini semasa sambutan Aidilfitri itu adalah penyokong Abdul Rashid.

    Beliau berkata ADUN itu yang juga Pengerusi Bersatu Selangor bagaimanapun tidak menyangka jumlah kehadiran tetamu melebihi jemputan dikeluarkan.

    Siasatan kes itu dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 6) 2020.

    Pada Rabu lepas, tular di media sosial foto memaparkan Abdul Rashid bersama-sama individu melebihi 20 orang di luar sebuah rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here