4,000 km, Malaysia tetap di hati Noor Rani

0
1078
NOOR Rani (berdiri kiri) meraikan sanak saudara dan rakan yang menziarahi rumah sempena 1 Syawal lalu.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
SEJAUH 4,354 kilometer dari tanah air dan sudah 19 tahun Noor Rani Adnan menetap dan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang di negara angkatnya, Australia.
Di bumi yang lebih popular dengan Socceroos, Hockeyroos dan Aussie football ini, jangan sesekali perdengarkan lagu-lagu raya yang bernada sedih dan mendayu-dayu kepadanya.
“Saya suka lagu raya yang klasik dan sesuai dengan mood raya macam Saloma (Selamat Hari Raya), Fazidah Joned (Aidilfitri Hari Bahagia) dan M. Nasir (Satu Hari Di Hari Raya),” katanya dalam wawancara atas talian.
Sepak takraw Australia? Sepaktakroos memang kerap menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand tetapi bekas tekong Malaysia ini sudah lama menutup ‘riwayat’ karier sukan warisan Melayu itu.
Anak jati Pulau Tiga, Parit, Perak ini hampir membolot ‘Grand Slam Sepak Takraw’ sepanjang karier antarabangsanya dari 1984 hingga 1994 dengan yang tertinggi pastilah dua pingat emas Sukan Asia Beijing 1990.
“Saya pemastautin tetap Australia dari 2001. Masih warganegara Malaysia, dulu, kini dan selamanya dengan ‘pasport merah’,” katanya yang menetap di Perth bersama isteri, Aznon Omar.
NOOR Rani Adnan hampir mencipta Grand Slam Sepak Takraw (pingat emas Sukan Asia 1990, Sukan SEA 1991, Piala Raja Thailand 1985 dan 1988).
Memiliki empat anak kata Rani, 60, “sekarang saya menimang cucu sahaja (dua orang). Lama betul rasanya tidak timang atau sepak bolanya. Sudah lama tutup ‘buku’ sepak takraw.”
Dia juga menghadiahkan Malaysia dengan pingat emas Sukan SEA Manila 1991, Piala Raja Thailand 1985 dan 1988, Piala Asia 1984 dan emas Pesta Sukan Merdeka Brunei 1985.
Pemain Terbaik Kejohanan MAS-Utusan Malaysia-RTM 1987 di Stadium Negara, Kuala Lumpur ini mengimbas semula kenangan itu, “era tersebut telah menaikkan nama sukan sepak takraw malah mendedahkan masalah elaun pemain kebangsaan dengan PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia).”
Tidak terungkap dengan kata dan tidak tergambar perasaan, kata Rani apabila gandingannya bersama Raziman Hassan dan Engku Abd. Halim Ku Musa memastikan mata emas regu berpasukan Sukan Asia 1990.
Regu dengan ‘pelibas kembar’ penentuan ini menjinakkan trio Si Gajah Putih musuh tradisi, Surat Na Chiengmai, Wirach Ponmoung dan Visut Boonsuya 18-13, 11-15, 18-15 di Gimnasium Fengtai, Beijing.
“Hanya itulah emas yang dimenangi kontinjen negara dalam Sukan Asia 1990. Pencapaian tertinggi memandangkan sepak takraw masih belum masuk Sukan Olimpik,” kata pemenang Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 1988 dan 1994 dengan Kuala Lumpur ini.
Biarpun era itu kerap menyaksikan taktik psikologi pemain Thailand mengejek dan menyakat lawan, hormat Rani terarah kepada seorang apit kanan mereka, Kriengkrai Mutalai yang boleh merejam mahupun mengumpan.
“Kriengkai paling mencabar. Kemahiran, kawalan bola dan hantarannya memang bagus. Dia boleh melibas tetapi sukar buat silap.
“Ejekan pemain Thailand tidak menjadi isu kepada kami yang dilatih untuk memberikan tumpuan dan mengawal rentak permainan dalam gelanggang,” katanya.
BIODATA NOOR RANI ADNAN
Asal: Pulau Tiga, Parit, Perak
Tarikh lahir: 12 Disember 1960
Atlet diminati: Jusri Rick (sepak takraw), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (bola sepak) dan Allahyarham Muhammad Ali (tinju)
Profesion lama: Kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (bersara 2006) dan pemain sepak takraw
Pewaris sepak takraw sekarang: Tiada, anak sulung Faris meminati bola sepak
Karier sepak takraw: Mewakili Kuala Lumpur (1980 hingga 1994), Malaysia (1984 hingga 1994)
Gandingan serasi: Salim Mohd. Yusof, Zainal Abidin Osman, Raziman Hassan dan Engku Abd. Halim Ku Musa
Mesej sepak takraw Malaysia: Jangan terlalu bergantung harap kepada PSM atau persatuan negeri, gunakan banyak saluran lain untuk mengembangkan sukan ini.
-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here