ABC ditutup, petanda industri akhbar makin tenat?

0
1124

Oleh AMREE AHMAD

SEPATUTNYA hari Jumaat minggu terakhir bulan Mei merupakan detik paling dinantikan pemain industri media cetak tempatan yang tidak sabar lihat laporan Audit Bureau of Circulations (ABC).

Ini kerana pada hari tersebut, firma pengauditan antarabangsa itu menerusi pejabatnya di Kuala Lumpur akan keluarkan data terkini rekod edaran surat khabar negara kita sepanjang tahun lalu.

Namun kali ini, hari berkenaan yang secara kebetulan jatuh pada 29 Mei 2020 tampak langsung berubah seolah sunyi sepi apabila khabarnya tiada syarikat akhbar tanah air berasa agak teruja.

Malah, bagi pengamat industri media, ketiadaan laporan tahunan ABC itu sebenarnya petanda awal kepada kemerosotan jualan surat khabar versi bercetak yang semakin tenat setiap tahun.

Lebih perit, ABC yang bertapak di Malaysia sejak 1975 lalu, bahkan dikatakan sudah pun tutup cawangannya awal tahun ini susulan semua penerbit utama akhbar telah bertindak menarik diri.

Langkah drastik itu menyaksikan agensi audit bertauliah ini seumpama tiada lagi pelanggan dek ‘jangka hayat’ operasinya bergantung daripada yuran keahlian penerbit akhbar terbabit sendiri.

Hakikatnya, zaman suram ABC sudah dapat dikesan awal apabila Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditutup ekoran alami isu kewangan ‘nazak’ secara tiba-tiba pada 9 Oktober tahun lepas.

Ketiadaan empat akhbar terbitan syarikat media cetak Melayu yang baru sahaja sambut ulang tahun ke-80 pada 29 Mei sebelumnya itu ternyata beri tamparan buruk kepada banyak pihak.

Ia seperti kesan domino apabila beberapa akhbar ternama kemudian turut ikut jejak Kumpulan Utusan dengan tutup operasi masing-masing atas alasan tidak mampu tanggung hutang besar.

Persaingan sengit daripada banyak portal berita atas talian yang tumbuh pesat bagai cendawan lepas hujan juga jejaskan prestasi edaran akhbar bercetak jatuh merudum beberapa tahun lalu.

Begitu juga edaran akhbar maya atau electronic newspaper (e-paper) kecuali Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang konsisten catat jumlah langganan bersih bertambah setiap tahun.

Fenomena aneh ini bagaimanapun tidak bantu Kumpulan Utusan berdepan tekanan politik hebat dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu setelah menang Pilihan Raya Umum pada 2018.

Ini termasuk pembatalan langganan di semua jabatan awam serta sekatan iklan dan tindakan boikot para penyokong blok politik itu yang balas dendam kerana dianggap media pro-UMNO.

Ia tambah tenat apabila dana parti itu bagi jana ‘nyawa’ Kumpulan Utusan disekat pihak berwajib konon ada kaitan kes 1MDB selain ramai tokoh PH saman malu sebab didakwa siar berita fitnah.

Penutupan syarikat akhbar keramat Melayu itu mungkin jadi berita gembira buat pentaasub PH, tetapi ia sebenarnya tanpa sedar beri gambaran kejatuhan industri media cetak di negara kita.

Orang ramai khasnya anak muda dilaporkan tidak lagi minat beli akhbar seperti mana generasi lama yang wajib baca surat khabar selepas matahari terbit kerana dianggap sebagai tiada kelas.

Jika 10 tahun dahulu, lebih lima juta naskhah akhbar dijual setiap hari di negara kita, kini hendak dapat sejuta naskhah pun agak perit dan akhirnya rak jualan terbiar lesu tanpa ada lagi pembeli.

Senario sama turut berlaku di seluruh dunia waima banyak syarikat akhbar jatuh muflis ekoran peralihan trend berita semasa dikuasai media atas talian yang lebih cekap, canggih dan terkini.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here