Mana Universiti P. Ramlee?

0
1504

SUNGGUH cepat masa berlalu kerana pada 29 Mei 2020 genaplah 47 tahun kematian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee pada usia muda 44 tahun akibat serangan penyakit jantung di kediamannya No. 22, Jalan Dedap, Taman Forlong (kini Taman P. Ramlee), Setapak, Kuala Lumpur.

Selepas jenazah P. Ramlee disempurna dan disolatkan di Masjid Jamek, Kampung Baru dan seterusnya sambil diiringi ribuan warga kota, jasad seniman terbilang itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur terletak tidak jauh dari masjid tersebut cuma dipisahkan oleh Sungai Klang yang merentasi dada ibu negara.

Kediaman P. Ramlee tempat beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada awal pagi 29 Mei 1973 itu juga kini sudah lama bertukar wajah menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee hasil inisiatif kerajaan di bawah kelolaan Arkib Negara Malaysia sejak tahun 1986.

Sebenarnya sudah banyak nama tempat yang mengabadikan nama P. Ramlee, termasuklah Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri; Jalan P. Ramlee (Kuala Lumpur) dan banyak lagi.

Dalam pada itu kita ingin tahu mana Universiti P, Ramlee yang belum dimasyhurkan? Sedangkan perancangan untuk menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjadi Universiti P. Ramlee itu sudah diluluskan sebulat suara oleh anggota Dewan Rakyat (Parlimen) serta dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun 2018.

Malah ketika itu juga Aswara sudah membuat persiapan yang secukupnya bagi tujuan menaik taraf akademi tersebut menjadi Universiti P. Ramlee, apatah lagi yang lebih releven ialah di situ juga sudah ada Kursi P. Ramlee bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pusat pengajian seni kreatif meliputi seni lakon, muzik dan perfileman.

Rasional pengabadian nama P. Ramlee kepada akademi yang bakal dinaik taraf sebagai universiti tersebut bukan sahaja sebagai penghormatan kepada tokoh seni muzik dan perfileman yang hebat bertaraf Asia dan banyak berjasa kepada seni budaya negara, malah menjadi motivasi kepada para siswa serta tenaga akademik di situ kelak.

Mengikut perancangan strategik kerajaan BN dahulu, Universiti P. Ramlee akan mengambil model universiti lain yang diiktiraf dan menggunakan terma dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2012 sebagai panduan bagi menjadi universiti awam.

Cadangan untuk menaik taraf Aswara menjadi Univerisiti P. Ramlee itu adalah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dicadangkan pada tahun 2015.

Untuk rekod, Aswara bermula dengan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, kemudian dikenali sebagai Aswara berkuat kuasa pada 1 Ogos 2006 melalui Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).

Aswara merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan yang melahirkan graduan peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tertinggi dalam bidang berkaitan dengan industri kreatif bersesuaian dengan permintaan tenaga profesional bagi membangunkan sektor tersebut dalam era terkini.

Malangnya hasrat kerajaan BN untuk menaik taraf Aswara menjadi Universiti P. Ramlee itu terbantut apabila BN kalah dalam PRU-14, lalu tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempat berkuasa dalam tempoh singkat 22 bulan sahaja.

Namun Tun Mahathir juga gagal merealisasikannya. Sejauh mana pula kerajaan semasa berminat memasyhurkan Aswara untuk di naik taraf menggunakan nama Universiti P. Ramlee itu? Sama-samalah kita tunggu serta berdoa ke hadrat Allah SWT agar Universiti P. Ramlee bakal menjadi kenyataan.

Sekurang-kurangnya kita dapat menghargai jasa P. Ramlee anak kelahiran Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 yang bermula mencipta nama di Malay Film Productions (Shaw Brothers) Singapura 1948 kemudian menyambung kerjayanya di Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor apabila berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1964. Tapak Studio Merdeka itu kini dibangunkan dengan Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Satu lagi cadangan daripada anak-anak Pulau Pinang ialah supaya nama lapangan terbang di negeri itu dinamakan sebagai Lapangan Terbang P. Ramlee sesuai dengan negeri kelahiran tokoh tersebut.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said suatu ketika dahulu pernah mendeklamasi puisi bertemakan P. Ramlee yang dimulakan dengan bait berbunyi; “Dia bukan insan seni penyulap harta negara, dia bekalkan pusaka yang lebih berharga, bermaruah bagi bangsanya….”

– BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here