Segerakan kelulusan SOP penggambaran

0
1049
FOTO: Wikimedia Commons/Noor Mohamed at English Wikipedia / Public domain

Oleh Zaki Abdul Rahim , Timbalan Presiden FDAM
KERESAHAN penggiat industri kreatif khususnya kru penggambaran filem mahupun program video untuk siaran televisyen kian memuncak sebaik sahaja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bersambung lagi sehingga 9 Jun ini.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan syarat gerak kerja penggambaran perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, sehingga artikel ini disiarkan, garis panduan penjagaan kesihatan serta keselamatan sepanjang menjalani penggambaran tersebut masih belum diwartakan.

Hampir kesemua pimpinan persatuan industri kreatif didesak ahli-ahlinya untuk segera mendapatkan kata putus pihak berkuasa tanpa melengah-lengahkan kelulusan yang penting ini. Garis panduan SOP bagaikan mandatori bagi menjamin rutin penggambaran dilaksanakan dalam hambatan kerisauan memutuskan rantai penularan virus Covid-19 sekali gus menampilkan disiplin kerja norma baharu dalam kalangan penggiat industri perfileman mahu pun penyiaran.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim tidak menafikan bahawa pihak MKN dan KKMM terlalu lama memeram kelulusan kandungan pematuhan SOP penggambaran seolah-olah ia bukan isu kritikal yang seharusnya diberi keutamaan.

“Apa yang membuatkan garis panduan pematuhan SOP penggambaran hingga kini belum diluluskan sedangkan sebelum ini Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) termasuk Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA) bersama Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) telah mengemukakan memorandum Cadangan Garis Panduan Penggambaran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk diteliti dan diperhalusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) seterusnya Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM)”, soal beliau.

Pada masa yang Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob telah pun secara terbuka menyenaraikan syarat-syarat pematuhan Prosedur Operasi Standard yang menepati praktis gerak kerja penggambaran seperti berikut:

1. Jumlah maksima kru penggambaran termasuk artis tidak melebihi 20 orang.
2. Mesyuarat penerbitan dan sesi uji bakat hendaklah secara atas talian.
3. Mengemukakan rekod perjalanan setiap kru dan artis sebelum penggambaran
bermula.
4. Menyediakan penyelia keselamatan sepanjang tempoh penggambaran.
5. Makanan dan minuman hendaklah disediakan secara hidangan pek.
6. Jurusolek atau penata rias hendaklah memakai ‘face shield’ serta mencuci
tangan sebelum dan selepas penggambaran.

7. Penjarakan sosial lebih satu meter hendaklah dipraktikkan sepanjang masa dengan menggunakan teknik rakaman yang kreatif dengan tiada babak sentuhan fizikal.

Untuk rekod, FDAM telah mencatatkan hampir 40 permohonan daripada ahlinya untuk menyambung baki penggambaran yang telah pun mendapat keluaran Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Manakala jumlah kru penerbitan dan teknikal terbabit dianggarkan antara 500 hingga 700 orang. Kesemua mereka kini bergelut dengan masalah mata pencarian yang sangat kritikal akibat seluruh sistem penerbitan kreatif telah terganggu.

Di pihak penerbit pula, sebarang penangguhan gerak kerja akan menyebabkan kerugian kos yang bukan sedikit.
Pengarah popular Rashid Sibir menegaskan sekiranya kemelut ini berpanjangan hanya kerana penggiat tidak dapat menjalani penggambaran disebabkan menanti kelulusan memorandum SOP, sudah pasti industri kreatif (filem/penyiaran) akan terus suram yang penghujungnya penggiat terpaksa mencari pilihan kerjaya lain untuk meneruskan kehidupan seharian. Beliau yang juga pemilik syarikat penerbitan Opera Klasik Sdn Bhd ini juga menyarankan pemberian surat pelepasan menjalani rakaman di lokasi.

Tambah beliau, “jika ada sokongan surat pelepasan daripada FINAS mahupun MKN, sudah pasti semua urusan akan menjadi lebih mudah dan lancar. Pemilik lokasi, syarikat sewaan alatan, orang awam dan pihak berkuasa setempat akan lebih yakin untuk bekerjasama”.

Sementara itu, pelakon veteran, Fauziah Nawi menggesa FDAM dan semua persatuan industri lain agar lebih serius mendesak pihak berkuasa supaya segera menangani isu kelulusan garis panduan SOP penggambaran lantaran ia kunci kepada punca keresahan penggiat.

“Tak payah cakap benda-benda besar lain, buat dulu tugas yang maha penting ini, dapatkan kelulusan SOP segera”, tegas Fauziah Nawi yang turut memohon Datuk Prof Dr Abdul Razak Mohaideen sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS untuk memanjangkan keluhan ahli kepada pihak atasan dalam hantaran WhatsApp Ahli Aktif FDAM.

Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, keputusan sama ada membenarkan industri itu beroperasi semula akan diputuskan selepas Aidilfitri sebaik mendapat maklum balas daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pandangan semua pihak akan diambil kira dengan melihat semua aspek kesihatan, keselamatan, perbelanjaan, kepakaran, logistik, jangkaan siaran produk dan sebagainya.

Beliau menambah, kerajaan amat memahami keresahan penggiat seni kreatif yang sumbangan mereka tidak dapat dinafikan dalam pembangunan ekonomi negara, namun sebarang keputusan akan diperhalusi lebih terperinci supaya perlaksanaannya nanti tidak mendatangkan risiko negatif.

BebasNews

Zaki Abdul Rahim merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM)

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here