Utusan Melayu dan Hari Wartawan Nasional

0
441

HARI ini saya menyelak media mengenai sama ada terdapat ucapan terutama pemimpin pelbagai peringkat berkaitan Hari Wartawan Nasional (Hawana). Biasanya sempena hari-hari seumpama itu, akan ada mesej oleh pelbagai pihak sama ada sebagai penghargaan atau peringatan.

Semalam melalui facebook, sebagai bekas wartawan, saya ragu-ragu untuk meraikan Hawana. Saya tidak pasti sama ada pengiktirafan itu masih terpakai atau sah. Kadang-kadang disebabkan politik, sesuatu itu boleh berubah mengikut kehendak sesebuah kerajaan atau pemerintah.

Hawana diiktiraf oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14). Mungkin disebabkan kesibukan peralihan kerajaan ketika itu, BN kepada Pakatan Harapan (PH) maka Hawana mungkin terlepas pandang ketika sambutan pertama secara rasminya patut berlangsung pada 29 Mei 2019.

Biasanya, wartawan atau golongan media ini terletak di bawah pengawasan Kementerian Dalam Negeri (lebih kepada permit) dan juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia (lebih mudah faham Kementerian Penerangan).

Semalam, 29 Mei 2020, selepas PH ‘membubarkan kerajaannya’ sejauh mana pula pengiktirafan diberikan oleh Perikatan Nasional (PN)? Ada tak sebarang ucapan rasmi pemimpin negara atau acara ringkas memperingatinya? Sebab itu tajuk hantaran di FB saya semalam adalah “Hari Ini Hari Wartawan Nasional? “

Apa pun bagi yang tidak pasti, Hawana diumumkan pada Majlis Pelancaran Hari Wartawan Nasional pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade.

Ketika itu Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam ucapannya berkata : Kerajaan telah menerima cadangan proklamasi supaya Hari Wartawan Nasional disambut pada 29 Mei setiap tahun sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Pada hari itu juga, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra A-Haj diangkat sebagai penerima pertama anugerah Tokoh Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2017/2018 bagi menghargai sumbangan dan jasa almarhum membangunkan serta memajukan bidang kewartawanan.

Najib menyampaikan anugerah itu kepada cucunda Almarhum, Tengku Rozani Tengku Ahmad Nerang.

Almarhum Tunku semasa hayatnya berjaya meletakkan asas kepada perkembangan media elektronik dan media cetak negara selain aktif dalam bidang penulisan. Semasa menyandang jawatan Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia (1961-1964), Almarhum banyak memainkan peranan mengukuhkan kedudukan radio dan televisyen sebagai badan penyiaran yang dikagumi dan dihormati.

Sebagai bekas wartawan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, saya tumpang bangga pemilihan tarikh itu kerana akan turut mengingati 29 Mei 1939 adalah kelahiran akhbar tulisan jawi, Utusan Melayu.

Bagi saya, ia adalah satu penghargaan kepada Utusan Melayu, akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal tenaga bangsa Melayu. Semangat muafakat dan setiakawan menjadikan akhbar yang diterbitkan di Singapura ini satu kenyataan.

Bagaimanapun akhbar edisi jawi itu tinggal kenangan. Hayatnya setakat 31 Disember 2002. Bukan setakat surat khabar yang telah mati, syarikat juga gulung tikar pada 9 Oktober 2019. Justeru, sekurang-sekurangnya 29 Mei setiap tahun Hawana (jika diiktiraf) secara tidak langsung akan tetap dikenang sebagai hari kelahiran Utusan Melayu.

Malam tadi dan hari ini banyak hantaran di FB mengenai Hawana, kebanyakan dalam kalangan wartawan. Harap ‘sambutan’ itu bukan syok sendiri walaupun kebanyakan wartawan tidak peduli soal hari itu dan ini kerana mereka akan bekerja seperti biasa menunggu, mencari dan melaporkan berita melalui pelbagai media.

Hari itu hanyalah satu tanda pengiktirafan sama seperti sambutan hari lain seperti Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Belia, Hari Jururawat dan macam-macam lagi. Apa yang penting dalam setiap kerjaya jalankan tugas yang diamanahkan dengan amanah. Tunjukkan komitmen terhadap tugas itu.

Seperti nasihat Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, dalam perutusan sempena Hawana semalam, beliau berkata : “Islam amat menitik beratkan etika penyampaian sesuatu berita dan maklumat dengan memastikan maklumat yang sahih, bersikap adil berpaksikan kebenaran, tidak mencampur adukkan antara kebenaran dan kebatilan,”

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, hebahan yang dituntut ialah hebahan yang menanamkan nilai yang baik dalam informasi yang disebarkan kepada individu, masyarakat dan negara bagi memastikan kefahaman ke arah menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran dalam kehidupan semasa.

Hari ini, kebanjiran media sosial menjadikan tugas wartawan semakin mencabar untuk mempertahankan nilai-nilai yang baik dan laporan yang tepat, yang tidak terikut-ikut atau terpengaruh dengan rentak ‘wartawan segera’ media sosial yang kadang kala melaporkan sesuatu yang tidak berasas.

Tidak dinafikan ada bahan media sosial yang amat membantu media cetak dan elektronik malahan wartawan berdepan dengan kepantasan media sosial yang lebih cepat melaporkan sesuatu sama ada ceritanya ‘masak’ atau ‘separuh masak’, sahih atau tidak. Pelbagai maklumat palsu termasuk kenyataan akhbar yang menggunakan kepala surat rasmi juga menuntut ‘media rasmi’ lebih berhati-hati.

Harus diingat, perkongsian maklumat yang tidak tepat boleh mencetuskan keresahan, perbalahan dan menjejaskan ‘ketenteraman’ awam dan negara.

Selamat Hari Wartawan Nasional?

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here