Bolehkah bisnes Pak Long difrancaiskan?

0
1049

Oleh Affandy Faiz

(Siri 1)

 

“HABIS tu Midin, boleh ke Pak Long nak francaiskan bisnes Pak Long ni?” celah Pak Long.

“Soalan cepumas tu Pak Long. Soalan 2.6 bilion ringgit,” jawab Midin tersenyum simpul.

“Kau ni Midin. Nak jolok Pak Long pulak pasal isu politik. Haaa dia orang dah bayar ke hutang, apa ke benda, yang dia orang janji nak bayar tu?” Pak Long cuba jolok Midin dan tukar topik perbualan.

Midin tersengih-sengih je. Midin sedar ramai pelanggan-pelanggan Melayunya memang liat dan susah nak bayar hutang. Silap haribulan boleh bungkus dan tutup kedai. Bukan senang nak jadi konsultan dan bersaing dalam keadaan ekonomi yang tak menentu masa kini. Dia sedar yang dia tak boleh mengharap sangat kepada bantuan kerajaan, apatah lagi menagih simpati kepada bangsanya sendiri.

“Sebelum Midin cerita boleh ke tak boleh, kita kena tengok dulu dan pertimbangkan beberapa perkara samada kedai runcit Pak Long ni, boleh difrancaiskan ke atau tidak”, sambung Midin, cuba mengelak umpan Pak Longnya untuk berbual mengenai politik semasa.

“Boleh ke bisnes kedai runcit Pak Long yang tak seberapa ni kita francaiskan?” celah Pak Long pendek sekali lagi, seperti inginkan kepastian.

“Sebenarnyakan Pak Long, ramai peniaga, terutamanya peniaga-peniaga Melayu kita, keliru tentang perniagaan francais ni. Bagaimana dan macamana Pak Long uruskan perniagaan kedai runcit Pak Long serta jenis perniagaan Pak Long pun penting jugak tapi ianya bukanlah faktor penentu samada perniagaan kita tu boleh difrancaiskan atau tidak.”

“Bagi Midin, senang je. Biasanya, bila kita dah bukak satu kedai, maju atau untung pulak tu, kita mesti akan terfikir macamana nak besar atau kembangkan perniagaan kita. Kena pulak pelanggan semakin ramai, permintaan semakin tinggi, sentiasa ada je. Kalau mula-mula dulu, mungkin Pak Long jual barang-barang kering je. Lepas tu, customer mintak Pak Long jual barang-barang basah atau sejuk-beku pulak. Betul tak Pak Long?”

“Betul tu betul jugaklah. Kalau ada modal, siapa tak nak besar, kembangkan perniagaan kita. Kalau takde, tak cukup modal, nak kena meminjam. Kalau pergi bank, belum tentu lagi dia orang nak bagi pinjam kat kita. Macam-macam dia orang nak. Nak suruh simpan duit kat dia orang lah. Nak suruh gadai tanah kita lah. Nak kena buat paperwork lah. Macam-macamlah,” jawab Pak Long.

“Pak Long dah hampir 15 tahun berniaga. Alhamdulillah, Pak Long dapat bertahan sampai hari ni. Mewah tu takdelah. Tapi, dapatlah Pak Long hantar anak-anak Pak Long masuk universiti. Yang belajar oversea pun ada dua orang. Abang Mat dengan Kak Siti kau tu. Masa mula-mula, Pak Long gunakan duit simpanan Pak Long, pinjam dengan Pak Ngah dan Pak Su kau. Gadai sikit barang-barang kemas Mak Long. Nak harapkan pihak bank memang takdelah. Dia orang mana nak percaya atau yakin dengan peniaga-peniaga Melayu macam kita ni,” sambung Pak Long lagi.

“Agensi-agensi kerajaan macam Mara, Tekun, PUNB?” celah Midin.

“Sama je semua tu. Kalau takde cable, toksah haraplah. Yang mintak upfront pun ada jugak. Katanya nak cover orang dalam. Bank pun sama. Entahlah, senang-senang je dia orang ni nak cari makan. Tak fikir akhirat langsung,” jawab Pak Long pendek, seolah-olah kecewa.

“Itulah pasal Pak Long. Tak boleh nak kata apa. Dunia sekarang. It’s who you know,” celah Midin pendek. “Masalah modal ni memang masalah semua orang yang berniaga. Baik kecik mau pun yang besar. Lebih besar bisnes kita, lebih banyak modal yang diperlukan. Mahu tak mahu, kita kena cari jugak modal kalau kita betul-betul nak kembang atau besarkan bisnes kita. Tu yang ada sampai meminjam dengan along. Tapi, bahayalah kan. Nanti, tak pasal-pasal pagar rumah kita dia orang cat warna merah pulak nanti,” gurau Midin.

“Banyak cara lain kita boleh usahakan nak cari modal ni Pak Long. Kita boleh cari investor atau partnership. Buat equity-funding atau crowd-funding. Atau pun franchising. Semua ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Tapi, dia orang akan tanya Pak Long satu soalan yang paling kritikal, baik yang nak melabur atau pun yang nak beli francais Pak Long. Boleh untung tak? Boleh buat duit tak?” sambung Midin lagi.

(Bersambung)

-BebasNews

Affandy Faiz adalah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Francorp Malaysia. Francorp, adalah firma perunding francais yang terawal dan terkenal di dunia, berpengkalan di Amerika Syarikat, dan telah membantu banyak syarikat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, mengembangkan perniagaan mereka melalui sistem perniagaan francais. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.francorpmalaysia.com atau hantarkan pertanyaan dan/atau maklumbalas anda ke [email protected].

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here