Sejahterakan OKU

ILUSTRASI: insidehighered.com

TIDAK ada halangan bagi orang buta, orang pincang, orang sakit dan dirimu sendiri makan (bersama mereka) di rumah kamu sendiri, di rumah bapa kamu, di rumah ibu kamu, dan…(Surah an-Nur).

Kisah yang berikut ini adalah kisah benar yang telah belaku di sebuah universiti negara kita.

Saya berasa tersangat sedih dan tersangat marah di atas kejadian ini, di mana seorang pelajar OKU bernama Zaiton (bukan nama sebenar) telah tidak dibenarkan mendaftarkan diri sebagai pelajar di universiti itu walapun telah ditawarkan tempat pengajian dengan rasmi.

Alasannya hanya kerana pelajar itu seorang OKU. Kejam sungguh perbuatan orang kita terhadap pelajar OKU ini.

Saya telah merujuk kepada sabda Rasulullah SWT: “jika sesiapa melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu, maka (tolaklah) dengan hati, iaitu perbuatan yang selemah-lemahnya iman (dari Abu Said Al – Khudri r.a.) ”

Saya ingin merubah perkara kejam ini. Maka saya pun menulis kepada akhbar menceritakan tragedi ini. Kalau tidak dipecahkan kepala manakan dapat otaknya.
Beginilah isi surat saya itu:

“Saya membaca laporan akhbar pada 5 Julai dengan rasa amat bangga tentang bagaimana Zaiton, 20 tahun, yang dilahirkan dengan kecacatan fizikal dan kerdil yang berguna.

Dalam peperiksaan STPM tahun lalu, beliau mendapat keputusan cemerlang dengan lima principal. Pelajar OKU ini pun lalu ditawarkan tempat memasuki sebuah universiti di negara kita sebagai pelajar dalam bidang undang-undang.

Lalu Zaiton dengan bapanya yang hidup miskin, berbekalkan wang yang hanya sedikit, telah hadir untuk mendaftarkan diri di universiti itu.

Oleh kerana Zaiton merupakan OKU yang tidak dapat berjalan sendiri lebih daripada beberapa ela sahaja, dan tidak juga mempunyai kerusi roda, maka bapanya terpaksa mendukungnya ke sana ke mari. Kasih bapa kepada anaknya, bekorban apa saja.

Apabila sampai di universiti itu, Zaiton dan bapanya tidak dapat menerima untuk menyertai universiti tersebut sebagai pelajar. Sebabnya ialah pihak universiti tidak dapat menjamin Zaiton berpeluang belajar dengan baik kerana universiti itu tidak mempunyai kemudahan yang sesuai bagi OKU sepertinya. Tambahan lagi tidak ada orang yang dapat membantunya dengan keadaan fizikalnya yang sedemikian.

Zaiton mempunyai kelulusan lima prinsipal dan telah ditawar masuk sebagai pelajar di universiti itu, tetapi oleh kerana kata-kata pegawai pendaftaran yang sempurna sifat fizikal itu, maka tiadalah daya dua beranak itu lagi untuk bertahan.

Maka si bapa pun mendukung Zaiton meninggalkan universiti itu dan pulang ke kampung, membawa kepingan hati yang berkecai.

Segala susah payah dan perit maung Zaiton belajar di sekolah menuntut ilmu dulu, serta pengorbanan ibu bapanya telah hangus menjadi abu dibawa angin entah ke mana.

Kalaulah hanya pegawai pendaftaran yang beragama Islam itu menggunakan fikirannya untuk memaklumkan kes ini kepada orang atasan, mungkin perkara menyayat hati sebegini tidak berlaku. Wallhu ‘alam.

Anak yang cacat dan miskin ini sepanjang usianya percaya bahawa cara sebaiknya untuk mengubah nasib yang malang ialah melalui tuntutan ilmu.

Zaiton pernah belajar bahawa Islam menyuruh manusia menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri China, dan Allah SWT akan mempermudahkan jalan ke syurga kepada orang yang menuntut
ilmu.

Tetapi belum pun sampai ke negeri China, impian Zaiton sudah pun dimusnahkan oleh negeri tempat lahirnya sendiri!

Zaiton mempunyai semangat kental dan otak yang baik. Walaupun dalam keadaan jerih dan serba kurang, dia berusaha untuk membuktikan bahawa melalui usaha yang kuat, akan masih ada tempat untuk orang-orang sepertinya menjalani hidup seperti orang biasa.

Maka digembelingnya segala tenaga dan usaha untuk menuntut ilmu.

Saya berasa teramat sedih di negara mengenangkan nasib Zaiton. Siapa pun tidak akan dapat merasa betapa hancurnya hati Zaiton dan keluarganya. Berat kita memikirkannya, berat lagi Zaiton menanggung penderitaannya ini.

Pengorbanannya selama ini nampaknya sudah menjadi sia-sia, sedangkan kita hidup dalam negara yang serba maju dan aman sentosa.

Saya sering mengingatkan pelajar-pelajar bahawa harta dan jaminan hidup yang ada pada kita boleh diperolehi melalui pelajaran, terutama sekali bagi mereka yang datang daripada golongan miskin.

Saya pun dulunya datang daripada keluarga miskin seperti Zaiton juga. Tetapi oleh kerana tekun belajar, saya pun menjadi orang yang berguna. Ibu dan bapa saya amat berbangga.

Saya bermohon kepada pihak berkuasa universiti supaya janganlah mengabaikan perjuangan Zaiton dan keluarganya ini. Kita mesti membantunya.

Surat terbuka saya itu rupa-rupanya telah beraksi bagai kapak sakti, yang telah membelah otak pihak berkuasa universiti itu, dan memberikan sagunya kepada Zaiton.

Mereka telah membenarkan Zaiton untuk belajar di situ sebagai Mahasiswa.

Zaiton telah lama bergraduat dengan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, dan kini sudah pun bekerja. Saya tidak tahu di mana, tetapi itu tidak mengapa.

Pokoknya ialah betapa kita sering boleh membantu sesama kita, dengan usaha yang walaupun sekecil mana pun.

OKU atau orang-orang yang kurang upaya kini sudah ada Zaiton dan Senator Ras Adiba Radzi. Semoga Allah SWT memberi mereka azam dan kekuatan untuk membantu. Insha Allah.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here