Perokok berisiko tinggi dijangkiti Covid-19

Selain generasi muda, KKM menyeru semua peringkat dan lapisan masyarakat menghindari diri daripada amalan merokok. Berhentilah merokok… anda lebih sihat.

0
506
FOTO: Wikimedia Commons/Lindsay Fox from Newport beach, United States / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

PUTRAJAYA — Golongan perokok berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Mei lalu dan beberapa kajian luar negara mendapati perokok berisiko tinggi mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti Covid-19.

“Tabiat merokok terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia, sekaligus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama sekali semasa wabak Covid-19.

“Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan koronavirus dan penyakit-penyakit lain.

“Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang sudah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8% atau 17 orang adalah terdiri daripada golongan perokok,” katanya dalam sidang media.

Katanya, analisa Kementerian Kesihatan mendedahkan jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 kepada individu yang merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6% berbanding 12.1%.

“Selain generasi muda, KKM menyeru semua peringkat dan lapisan masyarakat menghindari diri daripada amalan merokok. Berhentilah merokok… anda lebih sihat.

“Terkini Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau NHMS 2019 yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu pada 29 Mei 2020 menunjukkan prevalen rakyat Malaysia yang menghidap darah tinggi adalah sebanyak 30% dan penyakit kencing manis adalah sebanyak 18.3%.

“Golongan ini berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19. Apatah lagi jika mereka mempunyai risiko tambahan seperti amalan merokok.

“Melalui NHMS 2019 juga, 21.3% rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi Covid-19 berbanding mereka yang tidak merokok.”

https://bit.ly/2yNCyl0
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here