Oleh Abdul Hafiz Ahmad
KEM tahanan pesakit Covid-19 atau pendatang asing tanpa izin atau kem latihan atlet negara?
Seketat mana proses saringan seperti ujian swab dan kuarantin diri selepasnya bagi mengesan gejala awal pandemik maut itu?
Jika ada pihak yang masih sangsi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersedia menjawab soalan-soalan wakil media massa secara ‘proses saringan’ Cawangan Komunikasi Korporat Majlis Sukan Negara (MSN).
Soalan-soalannya perlu die-mel terlebih dulu dan segala jawapannya akan diketahui dalam rakaman video yang diedarkan kepada wakil media selewat-lewatnya pukul 4 petang esok.
Tiada jemputan media dikeluarkan kementerian itu MSN untuk liputan sesi pendaftaran peserta Kem Latihan Pusat Program Jalan Ke Tokyo (RTT) Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula esok (1 Jun).
Alasannya, latihan di kem berkenaan – Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Latihan Pelayaran Kebangsaan, Langkawi, Kedah itu dijalankan secara berkuarantin dan memerlukan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) yang perlu dipatuhi.

Makluman media yang dihantar Cawangan Komunikasi Korporat MSN hari ini mengingatkan bahawa ketiadaan jemputan ini juga sebagai langkah berjaga-jaga namun segala bahan liputan peserta kem akan disediakan majlis termasuk bahan bergambar pegun dan video.
Hanya pembukaan kem latihan pusat RTT melibatkan 146 orang di Bukit Jalil yang terpaksa ditunda ke 8 Jun ini kerana tempat penginapan rasmi mereka, Casa 1 perlu menjalani proses nyah kuman.
Casa 1 digunakan sebagai antara Pusat Kuarantin Covid-19 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah tamat pada 27 Mei lalu.
Jumlah keseluruhan peserta tiga kem ini ialah 207 orang termasuk 37 di ABM 24 di Langkawi dengan jenis-jenis sukan terlibat ialah akuatik terjun dan renang, gimnastik artistik, memanah dan karate, badminton, pelayaran dan Paralimpik (renang, memanah, berbasikal, olahraga, badminton, boccia, powerlifting, pingpong dan tenis berkerusi roda).
“Cawangan Komunikasi Korporat MSN akan membantu pihak media menyediakan bahan liputan untuk sesi pendaftaran pesertanya.
“Rakan–rakan media yang ingin bertanyakan soalan kepada menteri berkenaan RTT, dimohon mengemukakannya cawangan ini untuk perhatian Adilla Muhammad melalui e-mel [email protected] atau [email protected].
“MSN juga akan membantu dengan menempatkan seorang pegawai media dan seorang jurufoto atau juruvideo bagi pihak media mendapatkan liputan
keseluruhan kem ini.
“Sebarang pertanyaan dan permohonan maklumat media atau temu bual dengan peserta kem ini, boleh menghubungi Adilla bagi tujuan penyelarasan,” makluman media dari cawangan berkenaan.
–BebasNews
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-’96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2010-17 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).