Negara kehilangan juara badminton Asia 1971

0
545
TAN AIK MONG
Oleh Abdul Hafiz Ahmad

ARENA badminton Malaysia kehilangan seorang legenda, mendiang Tan Aik Mong yang meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor pada usia 70 tahun kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Adik kepada Tan Aik Huang, bekas juara perseorangan Seluruh England 1966 ini dipercayai bertarung nyawa dengan penyakit barah hati yang dihidapinya.

Mendiang merupakan anggota skuad negara yang muncul naib juara Piala Thomas 1970 setelah dikalahkan Indonesia 7-2 dalam perlawanan akhir di Kuala Lumpur namun mereka mengatasi Denmark 5-4 pada separuh akhir.

Anggota lain skuad itu ialah mendiang Datuk Punch Gunalan, Abdul Rahman Mohamed, Aik Huang, Ng Tat Wai, Teh Kew San, Datuk Ng Boon Bee, Lee Kok Peng, Tan Soon Hooi dan Yew Cheng Hoe.

Aik Mong, kelahiran Pulau Pinang beraksi sebagai pemain perseorangan dan beregu negara dari 1966 hingga 1975 selain pernah menjuarai perseorangan Kejohanan Asia 1971 di Jakarta dan dua pingat perak (perseorangan dan berpasukan) Sukan SEAP Singapura 1973.

TAN Aik Mong dan Aik Huang (lima dan enam dari kiri), anggota skuad naib juara Piala Thomas 1970. – Foto Facebook Badminton Negara

Pada era 1980-an, lulusan Universiti Malaya yang berpengetahuan teknologi maklumat (IT) dan digelar ‘Si Bijak Komputer’ ini juga pernah melatih Sidek Bersaudara dalam skuad negara seperti Datuk Dr. Misbun, Datuk Seri Jalani dan Datuk Razif.

Aik Mong juga pernah dilantik sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 7 September 2013 yang ketika itu diterajui Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff namun hanya bertahan 18 hari.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam laman Facebooknya, berkata, “dengan pemergian ini, negara telah kelihangan seorang Hero Badminton Negara.
“Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga mendiang,” ucapnya, semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut menyampaikan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang dalam Facebook persatuan.

“Mendiang telah banyak berjasa kepada badminton Malaysia dan BAM. Masyarakat badminton pasti amat merinduinya,” katanya yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here