KPT bincang solusi terbaik isu yuran pengajian IPT

Mereka (pelajar) tidak lagi gunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah yang memerlukan kos elektrik, takkan tidak boleh kurangkan (kos yuran) di situ.

0
686

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengkaji isu berkaitan yuran pengajian semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi penuntut yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata perkara itu kini dalam proses perbincangan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata kos pengajian penuntut IPT kini tidak tinggi kerana kebanyakan mereka hanya belajar secara dalam talian dan tidak lagi menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

“Mereka (pelajar) tidak lagi gunakan asrama, fasiliti sukan, makmal dan bilik kuliah yang memerlukan kos elektrik, takkan tidak boleh kurangkan (kos yuran) di situ.

“Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira. Kami juga faham mereka ada tanggungjawab lain dan keluarga mereka terjejas akibat COVID-19,” katanya semasa ditemu bual dalam Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Pada 27 Mei lepas, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat COVID-19.

Menurut MPPK, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

Mohamed Mustafa juga berkata pihaknya sedang berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, syarikat telekomunikasi dan pihak universiti bagi membantu penuntut yang sukar mendapat capaian Internet untuk belajar secara dalam talian.

“Bukan semua kawasan ada akses kepada capaian Internet dan kalau ada pun, pelajar harus beli pelan data mereka sendiri. Ini perkara yang membebankan mereka.

“(Perbincangan itu bagi mencari jalan) Bagaimana jika boleh, pelajar tidak perlu keluarkan kos langsung, kalau perlu bayar pun, kita harap kos itu boleh diambil daripada yuran mereka yang sudah dibayar sebelum ini,” katanya.

KPT sebelum ini mengumumkan bahawa semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Dis manakala aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan.

— BERNAMA 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here