Syed Saddiq tak boleh guna nama Armada lagi

0
532

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar namun beliau tidak berhak menggunakan nama Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk apa-apa tujuan sekalipun.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan media di sini berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu perlu sedar bahawa beliau bukan lagi Ketua Armada Nasional.

Malah katanya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang media Jumaat (29 Mei) lalu telah memberikan penjelasan terperinci tentang kedudukan Syed

Saddiq dan empat individu lainnya telah gugur secara automatik.
Lantaran itu, kata Wan Ahmad Fayhsal, sidang media yang dibuat oleh Syed Saddiq semalam (31 Mei) yang dirujuk sebagai Sidang Media Armada Bersatu Malaysia adalah salah dan amat dikesali.

“Tohmahan yang dibuat di sidang media itu bukan sahaja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya.

“Saya harap agar Syed Saddiq dan barisan kepimpinan Armada Pusat tidak lagi mengelirukan akar umbi dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan segala dasar dan keputusan parti,” katanya.

Tegasnya, Bersatu sebagai sebuah parti politik sentiasa memastikan keharmonian organisasi dan memelihara nama baiknya di mata awam.

Barisan anggota Bersatu yang setia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keluarga besar ini.

“Segala jasa dan sumbangan Syed Saddiq kepada Armada dan Bersatu amatlah dihargai. Saya mengucapkan selamat maju jaya dan berdoa kepada Allah SWT agar beliau meneruskan khidmat dengan cemerlang walau apa jua jalan yang dipilih demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here