Piala Presiden, Belia dan Liga Futsal ‘korban’ terbaharu Covid-19

0
388
PARA pegawai FAM dan wakil-wakil pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 ketika sesi taklimat pertandingan di Petaling Jaya, Januari lalu. - Foto FAM

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

SESUDAH Piala FA dan Piala Pencabar 2020 dibatalkan pada 1 Mei lalu dek kebimbangan kepada pandemik maut Covid-19, hari ini Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) pula terpaksa menjadi ‘korban’ sama.

Pembatalan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang yang melarang penganjuran sukan di tempat terbuka yang melebihi 10 orang dan memerlukan penjarakan sosial semeter serta mengutamakan tatacara pelaksanaan piawai (SOP) yang ketat.

“Keputusan pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam.

Ketiga-tiganya sudah tertangguh sejak 16 Mac lalu malah tiga pertandingan utama kelolaan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia berkemungkinan besar dibatalkan jika permohonan untuk menyambungnya mulai 1 September ini masih ditolak kerajaan, bulan ini.

Kata Stuart, sesetengah pasukan tuan rumah Piala Presiden dan Belia (bawah 21 dan 19 tahun) melangsungkannya di venue terbuka yang menyukarkan pematuhan SOP seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan serta dalam mengawal pergerakan, kehadiran dan perhimpunan para penonton.

“Begitu juga bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup dilarang MKN yang menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan,” katanya dalam siaran media hari ini.

Justeru setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal katanya, FAM dengan berat hati dan tiada pilihan selain membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

FAM jelasnya akur dengan garis panduan PKPB dan MKN yang menggolongkan bola sepak dan futsal sebagai sukan bersentuhan badan lantas terpaksa membuat keputusan itu sekarang tanpa mampu menunggu atau bertangguh lagi kerana bakal menjejaskan kedudukan para pemegang taruh yang terlibat.

“Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun ini atau dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang selepas membuat kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman selain memperhalusi garis panduan, SOP dan nasihat serta pandangan Kementerian Kesihatan.

“Venue tertutup juga memerlukan kos lebih tinggi dalam memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan dipatuhi malah akan menyulitkan pasukan tuan rumah untuk menyewa venue yang bersesuaian dan memenuhi kriteria berkenaan,” katanya.

PIALA FA 2020 sudah pun dibatalkan pada 1 Mei lalu dengan slot Piala AFC 2021 Malaysia bakal diserahkan kepada juara Piala Malaysia jika dibenarkan disambung semula Oktober ini. – Foto MFL

Namun katanya, bagi memastikan pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi diserapkan ke pasukan utama dalam Liga Super dan Perdana, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membuka pendaftaran khas untuk mereka beraksi tanpa sebarang had pendaftaran.

“Sebagai menjamin kesinambungan kerjaya pemain-pemain berusia 21 tahun pada 2020 (yang lahir 1999) tanpa terjejas akibat pembatalan, had umur penyertaan Piala Presiden 2021 dinaikkan kepada 22 tahun untuk membolehkan mereka layak beraksi musim depan.

“Dalam menjaga hal kebajikan pemain dan pegawai, FAM turut berharap semua pasukan dapat menghormati kontrak masing-masing. Jika terpaksa membatalkan kontrak, pasukan terlibat diarahkan mengikut Akta Kontrak 1950 dan mewajibkan mereka membayar minimum 25 peratus daripada jumlah baki kontrak sebagai pampasan atau ganti rugi,” katanya.

Pembatalan Piala Presiden dan Belia ini turut membatalkan kesemua keputusan empat dan lima perlawanan masing-masing manakala satu perlawanan bagi MPFL sebelum tertangguh 16 Mac lalu sekali gus tiada pasukan yang akan bergelar juara musim 2020 ini dan pertandingan akan dimulakan semula bagi musim baharu 2021 pada awal tahun depan.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here