Pekerja ulang alik Pulau Pinang Kedah hanya perlu tunjuk pas, surat majikan

    0
    535
    Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat pemeriksaan setiap kenderaan yang melalui Plaza Tol Alor Setar (Utara) bagi memastikan orang ramai tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan larangan rentas negeri ketika tinjauan di plaza tol berkenaan di sini, semalam. -- fotoBERNAMA

    POLIS menafikan mesej tular di media sosial yang mendakwa pekerja berulang alik antara Kedah dan Pulau Pinang serta sebaliknya perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pekerja yang berulang alik di dua negeri itu hanya perlu menunjukkan pas kerja dan surat majikan jika diperiksa polis di sekatan jalan raya yang terdapat di sempadan negeri.

    “Sejak semalam (kelmarin), tular isu perlu dapatkan surat kebenaran daripada PDRM jika mahu melakukan rentas negeri bagi kategori bekerja malah ada pengguna laman sosial mendakwa mereka telah diarah patah balik oleh polis di sekatan jalan raya kerana tiada surat kebenaran.

    “Jadi, saya nak jelaskan tidak perlu surat kebenaran daripada PDRM untuk rentas negeri, memadai mereka hanya tunjuk pas pekerja dan surat majikan. Cuma bagi rentas negeri untuk pulang ke kampung atau kes kecemasan atau kematian perlu dapatkan surat kebenaran dari ketua balai polis terdekat,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika ini terdapat tiga sekatan jalan raya di sempadan Pulau Pinang dan Kedah iaitu di Kampung Jambatan Merdeka, Pinang Tunggal dan Permatang Bendahari.

    “Menerusi mesej yang tular itu, mereka turut mendakwa diarah berpatah balik oleh polis di sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, sedangkan tiada sekatan jalan raya di situ,” katanya.

    — BERNAMA
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here