PM lancar Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bulan ini – Tengku Zafrul

    0
    353
    FOTO: NSTP.

    KUALA LUMPUR — Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bagi tempoh Jun hingga Disember 2020 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Beliau berkata pelan tersebut akan tetap tertumpu kepada tiga matlamat utama, iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

    Dalam merangka pelan ini, beliau berkata pendekatan kerajaan akan bersandarkan kepada empat ciri, iaitu mesti tangkas dan dinamik, kerjasama sektor awam-swasta diutamakan, memastikan komunikasi menyeluruh dan capaian meluas serta menggunakan pendekatan berdasarkan data.

    “Sesungguhnya, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini merupakan peluang kita untuk mengambil peluang baharu yang berbangkit daripada krisis COVID-19 ini demi pembangunan masa depan negara.

    “InsyaAllah, inisiatif yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri akan membolehkan kita mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya semasa membentangkan Laporan Ketujuh Pencapaian Prihatin-Laksana hari ini.

    Menjelaskan ciri pertama, iaitu tangkas dan dinamik, Tengku Zafrul berkata ini bermakna pelan tersebut mesti mampu diperbaiki dan diperhalusi secara berterusan, mengikut keperluan semasa dan situasi tidak menentu sepanjang tahun 2020.

    Mengenai ciri kedua, iaitu kerjasama sektor awam-swasta diutamakan, beliau berkata pelan ini akan merangkumi pelbagai langkah dengan kerjasama seramai mungkin pemain dari sektor swasta, dan bukan sahaja dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC).

    “Ketiga, komunikasi menyeluruh dan capaian meluas – rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia perlu meyakini pelan ini agar semua dapat memainkan peranan masing-masing untuk menjana semula ekonomi Malaysia.

    “Kerajaan akan memastikan usaha komunikasi dilakukan secara berterusan, apabila ketelusan dan keterbukaan penting untuk menjayakan usaha ini,” katanya.

    Bagi ciri keempat, iaitu pendekatan berdasarkan data, Tengku Zafrul berkata pelaksanaan pelan ini adalah berdasarkan data dan statistik agar setiap pencapaian dapat dipantau dan diperhalusi dengan cepat dan tepat.

    “Data terkini juga akan dikongsi bersama sektor kerajaan dan swasta, serta agensi-agensi pelaksanaan untuk penambahbaikan yang berterusan,” katanya.

    Menurut Tengku Zafrul, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek merupakan fasa keempat daripada enam fasa, atau “6R”, dalam usaha kerajaan menangani cabaran kesihatan dan ekonomi disebabkan COVID-19.

    6R adalah ketegasan dalam mengawal COVID-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);  ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi; menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal; melaksanakan strategi pemulihan ekonomi; memperkasa ekonomi secara menyeluruh; dan menyusun semula struktur ekonomi untuk melangkah ke era normal baharu.

    — BERNAMA

    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here