Indonesia tidak hantar jemaah haji bimbang Covid-19

0
475
FOTO: Wikimedia Commons/Ariandra 03 / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0)

MUKTAMAD… Selepas Singapura, Indonesia turut ikut jejak langkah jirannya itu untuk tidak hantar bakal jemaah haji ke Tanah Suci pada musim ini susulan kebimbangan isu Covid-19.

Berita sedih itu dimaklumkan sendiri Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Fachrul Razi dipetik portal berita tempatan, Tempo pada sidang media secara maya di ibu kota Jakarta hari ini.

Kementerian itu terpaksa memutuskan untuk berbuat demikian berikutan krisis pandemik wabak maut tersebut masih lagi belum berakhir di seluruh dunia termasuk Arab Saudi sehingga kini.

Keputusan itu ujar beliau, juga dibuat kerana pihak pemerintah republik itu tidak mempunyai cukup masa untuk melakukan persiapan penghantaran lebih 200,000 orang jemaah ke Makkah.

Fachrul menegaskan bahawa isu Covid-19 turut pengaruhi semua aspek keagamaan sekali gus menyebabkan kementerian itu menubuhkan pusat krisis haji bagi selenggara urusan ibadah ini.

“Pasukan ini telah melakukan penyelidikan khusus babit tiga pilihan mengenai hal ehwal haji dan hasil kajian dibuat itu sama ada masih boleh lagi teruskan, bataskan atau batalkan sama sekali.”

Akhirnya pada Mei lalu ujarnya, pasukan itu menjurus keputusan kepada meniadakan langsung ibadah haji bagi semua bakal jemaah Indonesia kerana pertimbang aspek kesuntukan masa.

“Kerajaan Arab Saudi sendiri pun masih tidak memberikan sebarang akses kepada negara luar. Maka kita tidak mempunyai banyak masa untuk buat persiapan yang lengkap,” kata Fachrul.

Beliau bagaimanapun menambah, Indonesia pernah ada pengalaman berhadapan dengan isu pembatalan hantar jemaah haji ketika pencerobohan tentera Belanda dari 1946 hingga 1948.

Malahan, ibadah haji itu sendiri pernah dibatalkan puluhan kali dalam sejarahnya akibat pelbagai faktor termasuk penularan wabak penyakit maut dalam kalangan jemaah sekitar abad ke-19.

Sebelum ambil keputusan berat itu, Fachrul berkata pihak kementerian telah meminta pendapat Majlis Ulama Indonesia dan berunding dengan Suruhanjaya Agama Dewan Perwakilan Rakyat.

Setakat ini, kerajaan Arab Saudi masih tutup semua penerbangan antarabangsa selain kekal perintah berkurung di Makkah dan tidak buka Masjidil Haram kepada orang luar untuk beribadah.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here