Pematuhan SOP tidak mudah seperti dijangka

    0
    1088
    FOTO: Wikimedia Commons/ Arriflex.

    Oleh Zaki Haji Abdul Rahim Timbalan Presiden FDAM

    KUALA LUMPUR – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyambut baik kebenaran penyambungan aktiviti penggambaran oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKMM) bermula 10 Jun nanti di bawah syarat pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Presidennya, Ahmad Ibrahim menggesa ahli-ahli FDAM yang mempunyai Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) agar berlapang dada dengan garis panduan SOP walau agak mengekang demi keselamatan serta kesihatan semua yang terbabit.

    “Penggiat haruslah bersedia menjalani kehidupan baharu demi kelangsungan hidup. Alhamdulillah perjuangan FDAM menuntut agar penggambaran dibenarkan sekurang-kurangnya pada Jun telah ditunaikan walaupun bersyarat.

    “Penerbit hendaklah memainkan peranan lebih besar kerana ini projek mereka. Kesemua aspek pematuhan hendaklah dipatuhi tanpa kompromi memandangkan ianya membabitkan risiko kesihatan dan keselamatan. Ini bukan perkara ringan sebaliknya mesti dianggap serius. Toleransi kerajaan khususnya MKN dan KKMM hendaklah dihargai sepenuhnya”, tegas beliau.

    Walau bagaimana pun, Ahmad Ibrahim menarik perhatian bahawa perlaksanaan SOP nanti tidak mudah seperti dijangka. Beberapa aspek gerak kerja penerbitan hendaklah dikaji semula bagi menyesuaikan dengan tuntutan gerak kerja penggambaran di lapangan.

    Plot cerita perlu diubah, jumlah artis dan kru jika melebihi 20 orang perlu dikurangkan manakala kebiasaan baharu seperti tiada lagi lakonan fizikal, pemilihan zon lokasi, penggunaan pakaian, khidmat pengangkutan, kaedah penyediaan makanan, penutup muka, nyah kuman, pembersihan alatan teknikal dan sebagainya harus disusun semula dengan bijaksana.

    “Praktis semua ini akan menyebabkan jadual penggambaran diubah; mungkin tempoh penggambaran terpaksa dilanjutkan, pergerakan logistik makin membebankan, kadar sewaan alatan bertambah, penyediaan penyelia kesihatan dan cara baharu menyedia makanan pek akan menambah kos. Apakah penerbit sanggup menempuhi cabaran baharu ini?”, soal Ahmad Ibrahim.

    Kesemua data kru dan artis hendaklah direkodkan sekurangnya 14 hari sebelum penggambaran dan 14 hari juga mereka akan dikuarantin selepas penggambaran. Masalah yang timbul nanti ialah sejauh mana arahan pematuhan SOP memberi kesan kepada industri dalam jangka masa panjang. Realti sebenar gerak kerja penerbitan khususnya penggambaran dilihat sukar untuk dilunasi dalam beberapa kes ekstrem.

    Pada masa yang sama FDAM mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasianal Malaysia (FINAS) yang akan menganjurkan sesi taklimat bersama wakil persatuan pada Jumaat, 5 Jun nanti seterusnya mempelawa penggiat untuk bersoal jawab mendapatkan pencerahan tentang perlaksanaan SOP pengggambaran di laman sesawangnya www.finas.gov.my mulai 9 Jun 2020.

    “Sekiranya wujud isu persefahaman antara pengarah dengan penerbit yang berkemungkinan menjejaskan penerbitan, FDAM sedia menyumbang saran jalan penyelesaian yang terbaik. Pematuhan SOP penggambaran ini nanti akan digerakkan atas dasar situasi “menang-menang’ yang pastinya tidak merugikan mana-mana pihak”, kata Ahmad Ibrahim sebelum mengakhiri perbualan.

    BebasNews
    Please follow and like us:

    LEAVE A REPLY

    Please enter your comment!
    Please enter your name here