Tekong negara 80-an nafi kena Covid-19

0
454
TAJUDIN ADAN.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LEGENDA sepak takraw negara, Tajudin Adan menafikan bahawa dia pernah dijangkiti Covid-19 seperti yang dilaporkan sebuah media tempatan, 27 Mei lalu.

Bekas tekong Selangor dan Malaysia itu berkata, dia hanyalah kontak rapat tetapi seorang ahli keluarganya yang didapati positif penyakit itu sudah pun dibenarkan keluar hospital sebelum Aidifitri, baru-baru ini.

“Selama 10 hari ahli keluarga saya ini ditahan di Hospital Sungai Buloh tetapi alhamdulillah sekarang sudah sembuh.

“Sebagai ahli berdaftar, saya pernah maklumkan Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) mengenai kes Covid ini tetapi mungkin pihak itu tersalah faham sehingga timbul laporan akhbar mengatakan saya yang kena,” katanya kepada BebasNews hari ini.

Laporan itu memetik Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed bahawa Tajudin dan seorang bekas atlet olahraga, Ani Nios di Sarawak sudah pulih daripada jangkitan virus itu dan telah dibenarkan keluar hospital.

Difahamkan 42 peratus atau kira-kira 1,200 ahli Yakeb merupakan warga emas yang juga golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid selain ada di antaranya menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

TAJUDIN Adan (berdiri kanan), bersama skuad sepak takraw negara era 80-an. – Foto infotakraw.com

“Kami sekeluarga dikenakan kuarantin diri dan pegawai jabatan kesihatan daerah sesekali datang ke rumah membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan kami tidak keluar rumah yang boleh dianggap menyalahi peraturan.

“Segala barang keperluan sepanjang tempoh kuarantin itu kami terpaksa dapatkan dengan bantuan jiran-jiran,” kata Tajudin, 63, seorang pesara sebuah bank ini.

Dia merupakan anggota skuad negara yang mengadakan perlawanan pertunjukan sepak takraw sempena Sukan Asia 1982 di New Delhi dan Bombay, India.

“Malaysia menghantar tiga regu manakala Thailand hadir dengan satu regu menjayakan perlawanan itu sebelum pemain-pemain kita membuat demonstrasi sesama sendiri,” katanya.

Antara ‘Kaki Libas’ Malaysia ke Sukan Asia itu ialah Zainal Abidin Othman, Zainuddin Kamarudin, Jamal Din, Salim Mohd. Yusof, Azman Ismail, Adnan Saidin, Rahim Kassim, Fauzi Ayob, Mahat Daud dan Allahyarham Shukri Ismail.

Tajudin, anak jati Muar, Johor turut membantu Malaysia menjuarai Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA) pada 1980, sebuah kejohanan yang kemudiannya digantikan dengan Piala Raja Thailand mulai 1984.

Dalam kejohanan di Nakhonsawan itu, skuad negara bimbingan Sharkawi Ramli itu menewaskan Thailand B 3-0, Thailand A 2-1, Singapura 2-1 dan Brunei 3-0 secara liga sepusingan sebelum sekali lagi menundukkan pasukan A tuan rumah 3-0 dalam final.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here