Damai Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin

ALMUKARAM YABhg Tun Mahathir dan YAB Tan Sri Muhyiddin, dengan seberapa kesejahteraan Kurnian Allah Al Muktadir, daripada saya rakyat jelata yang DiBerikan Allah kesempatan untuk menulis surat terbuka ini kepada Tun dan Tan Sri berdua, iaitu pemimpin-pemimpin besar negara kita.

Assalamualaikum Wbk.

Dengan hormat dan takzim saya menulis mengenai perpecahan dalam parti BERSATU, tanpa membuat sebarang tohmahan kepada sesiapa.

Saya orang kecil, tetapi berharapan besar setinggi gunung, ingin melihat negara kita kembali sentosa.

Apalah daya saya selain daripada meminta Tun dan Tan Sri berusaha mencari jalan, di samping berdoa kepada Ilahi agar Tun dan Tan Sri kembali berdamai.

Carik-carik bulu ayam, rakyat mengharapkan bercantum kembali.

Tun dan Tan Sri adalah pemimpin yang pernah saling menghormati, dan saling bergantung kepada satu sama lain seperti abang dengan adik.

Kini rakyat menyaksi Tun dan Tan Sri bersengketa, dan mereka berduka. Kestabilan negara kita sudah berluka.

Sangat ramai rakyat berhasrat supaya Tun dan Tan Sri berdamai, seperti dulu, memerintah negara kita.

Saya dan kawan-kawan mengharapkan ini akan berlaku demi kebaikan kita dan negara.

Allah SWT Menyuruh kita berdoa, dan Dia Menjanjikan akan Memperkenankannya (Al Mu’min 60; Al A’raf 55 ). Berpandukan itu saya memanjatkan doa untuk Tun dan Sri.

Membaca tulisan media, maka nampaknya satu perselisihan besar sedang berlaku antara Tun dan Tan Sri. Tidaklah tahu yang mana benar, yang mana palsu. Banyak fitnah dalam dunia sekarang.

Selama mengenali Tun dan Tan Sri dari jauh, selama berpuluh-puluh tahun lamanya, saya yang kerdil ini berbangga mendapati Tun dan Tan Sri adalah negarawan pemikir yang hebat, kaya budi dan pemaaf.

Maka saya bermohon, carilah dari lubuk hati masing-masing penawar untuk kembali ke silaturrahim. Hindarilah daripada berkerat rotan berpatah arang.

Allah SWT Melarang orang-orang Islam berpecah belah (Surah Ali Imran 103):
“Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangilah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah Menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan Hikmat Allah orang-orang Islam yang berdaudara… ”

Allah Ar Rahmaan Ar Rahiim Menyayangi dan Mengasihi hamba-hambaNya yang pemaaf.

Perhatikan Surah Asy Syuraa 40:
“Dan balasan kejahatan ialah kejahatan yang serupa, dan barang siapa memberi maaf dan berbuat baik, Allah akan Memberi ganjaran kebaikan”.

Lihat juga Surah Al Baqarah 109″, Surah Al A`raf, Al Jathiya 14, Asy Syuraa 37″ yang membawa maksud yang serupa.

Saya menulis surat ini kerana mengutamakan Negara. Dalam berbuat begini, maka saya telah menunaikan kehendak Al Hadith dari Abu Said Al Khudri r.a berkata:

Saya mendengar Rasulullah bersabda “Siapa melihat kemungkaran, rubahlah dengan tangan. Jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga maka (tolaklah) dengan hati, iaitu perlakuan yang merupakan selemah-lemah iman.

Persengketaan adalah kemungkaran. Surat ini adalah usaha saya untuk merobah persengketaan supaya bertukar menjadi persahabatan antara Tun dengan Tan Sri dengan lisan dan hati. Semoga Allah SWT Merestui usaha saya ini.

YABhg Tun dan YAB Tan Sri, saya harap surat ini tidak mengundang sebarang kemarahan . Saya menulis surat terbuka ini dengan harapan rakyat dapat ikut bersama mendoakan kesejahteraan bagi Tun dan Tan Sri berdua.

Saya bersaksi kepada Firman Allah SWT dalam Surah ‘Abasa 80 sebagai penawar kemarahan. Saya hanya rakyat marhain.

Saya akhiri dengan ucapan salam sejahtera buat Tun dan Tan Sri sekeluarga. Semoga surat ini akan akan dapat memberi manfaat.

Yang benar
Hashim Yaacob.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here