UAE denda majikan paksa kerja waktu tengah hari panas terik

0
372
FOTO: Khaleej Times.

TEGAS… Buat julung kalinya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal hukum majikan yang kerah petugas kerja di luar pejabat dan terdedah kepada terik matahari sepanjang musim panas ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, Nasir Thani Al Hamli semalam dalam usaha kerajaan lindungi kesihatan pekerja daripada suhu ekstrem cecah lebih 40 darjah Celsius.

Menerusi peraturan baharu itu, tiada sesiapa dibenarkan tugas di luar antara pukul 12.30 tengah hari hingga jam 3 petang pada musim panas bermula dari 15 Jun hingga 15 September depan.

Malah pekerja terbabit lazimnya buruh kasar di sektor pembinaan ujar beliau, perlu ditempatkan di kawasan teduh pada tempoh masa tersebut dan juga harus dianggap sebagai waktu berehat.

Jika mereka diarah bekerja lebih lapan jam sehari kerana terpaksa ganti masa rehat itu, pekerja terlibat wajar terima bayaran tugasan lebih masa, menurut peraturan ditetapkan kerajaan UAE.

Bagaimanapun, undang-undang berkenaan tidak pula tertakluk kepada kumpulan pekerja sektor kecemasan seperti bomba dan paramedik kerana mereka memang siap siaga tanpa kira masa.

Namun, pihak majikan perlu menyediakan bekalan air sejuk atau cecair tenaga bagi elak pekerja ini hilang air dalam tubuh badan selain langkah pencegahan daripada dijangkit wabak Covid-19.

Agensi berita rasmi UAE, WAM melaporkan bahawa ribuan pekerja warganegara asing termasuk pekebun taman majlis perbandaran bakal menikmati pengecualian khas bertugas di lapangan.

Majikan yang ingkar boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, akan dihukum denda 5,000 dirham (RM5,800) bagi setiap pekerja sehingga maksimum 50,000 dirham (RM58,000).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here