Menteri batal arahan beri jalur 5G tanpa tender

Tindakan tersebut telah mencetuskan kritikan daripada banyak pihak termasuk pembangkang yang menganggap ia dibuat secara tidak telus.

0
868
FOTO: Wikimedia Commons/Fabian Horst / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah membatalkan arahan pemberian jalur komunikasi kepada beberapa syarikat yang dibuat tanpa melalui tender.

Katanya, sebanyak 18 instrumen termasuk arahan dan penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, 900MHz, dan 2600MHz dibentangkan kepada beliau sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Saifuddin, arahan tersebut dibatalkan atas faktor termasuk ketelusan.

“Atas dasar isu-isu teknikal, undang-undang dan perlunya mengikut proses yang telus, saya mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membatalkan arahan dan penentuan tersebut serta mengkaji semula instrumen berkenaan dengan kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arahan dan penentuan bertarikh 15 Mei lalu untuk memberikan spektrum telekomunikasi kepada lima syarikat telekomunikasi di negara ini telah ditandatangani Saifuddin.

Tindakan tersebut telah mencetuskan kritikan daripada banyak pihak termasuk pembangkang yang menganggap ia dibuat secara tidak telus.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, mempersoalkan kewajaran arahan dibuat Saifuddin sebelum ini dan mendakwa ia menimbulkan pelbagai persoalan berkenaan proses pemilihan syarikat serta jumlah spektrum yang diberikan.

Aset negara diurus SKMM

Jelas Fahmi, pada 1 Julai tahun lalu, SKMM memulakan siasatan awam dan beberapa garis panduan dicadangkan termasuk pemberian spektrum melalui proses tender.

Katanya lagi, Altel Communication – satu daripada lima syarikat penerima spektrum tersebut – menyatakan kepada SKMM pada 30 Ogos 2019, seeloknya satu pengendali diberikan keseluruhan spektrum 700 MHz untuk memudahkan prasarana telekomunikasi disediakan secara lebih terselaras, mengelakkan pembaziran serta adil kepada semua pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

“[…] laporan SKMM bertarikh 29 Sept 2019 turut menunjukkan majoriti syarikat yang memberi maklum balas menyarankan proses tender dilakukan, dan hampir tiada pihak yang menyatakan blok spektrum 2×5 MHz bersesuaian.

“Malangnya, arahan menteri ini menyaksikan tiada proses tender dijalankan atau tidak diumum, tiada satu pengendali atau konsortium diberikan keseluruhan spektrum, dan jumlah blok spektrum 2×5 MHz yang diberi kepada Altel dan Telekom Malaysia tidak mengikuti pandangan awal SKMM pada 1 Julai 2019 mahupun laporan SKMM 29 September 2019,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Saifuddin turut menjelaskan bahawa pengurusan dan kawal selia penggunaan spektrum tertakluk kepada peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum).

“Sumber spektrum merupakan satu aset negara yang diuruskan oleh SKMM di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

“Pengurusan dan kawal selia penggunaan spektrum ini berdasarkan kepada peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (spektrum) 2000,” katanya.

https://bit.ly/3duMPBQ

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here