Ali Rustam terima watikah pelantikan TYT, bakal terima gelaran Tun hari ini

0
697
Oleh Amran Mulup

 

MELAKA — Tan Sri Mohd Ali Rustam dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi menerima watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan.

Sejurus selepas menerima watikah tersebut bekas Ketua Menteri Melaka itu akan menerima Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) sekali gus membawa gelaran Tun, demikian kata sumber yang rapat dengan beliau.

Istiadat itu akan berlangsung kira-kira jam 2 petang hari ini turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang dijangka turut hadir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md.Ali, Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua
Setiausaha Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan.

Jumaat (5 Jun) ini pula Mohd Ali Rustam akan mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu dalam majlis yang dijadualkan berlangsung di Balai Istiadat Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh kira-kira jam 10 pagi.

Ini akan diikuti majlis serah tugas antara Yang di-Pertua Negeri  MelakaKe-6, Mohd Khalil Yaakob dengan Mohd Ali Rustam di pejabat Yang di-Pertua Negeri kira-kira jam 11 pagi.

Sejurus selepas itu Mohd Khalil Yaakob dijadualkan menyampai ucapan sebelum disusuli oleh Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali Rustam bakal memahatkan sejarah negeri Melaka apabila penantian selama 63 tahun untuk melihat anak kelahiran negeri ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka menjadi kenyataan.

Biarpun ada dua calon menawarkan diri namun kelangsungan enam Yang di-Pertua Negeri yang datangnya dari luar negeri kini berakhir.

Ternyata tanda tanya sebelum ini akhirnya terjawab. Sudah tentunya rakyat golongan bawahan paling gembira melihat anak jati Bukit Katil ini kembali memerintah negeri.

Sejak selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, enam Yang di-Pertua Negeri yang dilantik kesemuanya datangnya dari luar Melaka. Dua dari dari Perak manakala setiap seorang pula dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Enam Yang di-Pertua Negeri Melaka terdahulu ialah Tun Leong Yew Koh (31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959, berasal dari Sungai Siput, Perak); Tun Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971, berasal dari Kg Chengkau, Negeri Sembilan); Tun Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 – 9 Mei 1975, berasal dari Hulu Langat, Selangor); Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 – 30 Nov 1984, berasal dari Tanjung Kerian, Perak); Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin (4 Dis 1984 – 3 Jun 2004 berasal dari Kulim, Kedah) dan Tun Mohd Khalil Yaakob (4 Jun 2004 – hingga kini, berasal dari Kuantan, Pahang).

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here