Muhyiddin singkir tiga pemimpin Bersatu dari kem Mahathir

0
592

TIGA pemimpin Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang diketahui umum berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad mendakawa telah dipecat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Mereka adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang Marzuki Yahya, dan timbalan Pengerusi Bersatu Kedah Anuar Abdul Hamid.

Surat penamatan perkhidmatan ketiga-tiga mereka yang dilihat oleh Malaysiakini, bertarikh 2 Mei dan menggunakan kepala surat Presiden Bersatu. Ia ditandatangani oleh Muhyiddin selaku presiden parti dan pemangku pengerusi.

Menurut surat itu, semua ketiga-tiga mereka ditamatkan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta merta. Tidak ada sebarang alasan yang diberikan oleh Muhyiddin.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, Marzuki berkata bahawa dia menerima surat itu melalui Whatsapp dari setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya semalam, sementara Anuar pula berkata, bahawa dia menerima suratnya pagi ini.

Untuk rekod, Marzuki juga adalah Setiausaha Agung Bersatu tetapi dipecat oleh Muhyiddin baru-baru ini. Bagaimanapun, pemecatan itu tidak diiktiraf oleh Dr Mahathir yang mendakwa bahawa sebagai pengerusi perkara itu tidak dirujuk kepadanya.

Marzuki berkata bahawa dia percaya bahawa pemecatan itu dibuat untuk menyingkirkan pemimpin parti yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin.

“Saya lihat pemberhentian ini tak lain kerana saya tak pendirian sama dengan presiden dan saya dapati mereka yang tak sama pendirian semua akan diambil tindakan,” katanya.

Marzuki juga mengesahkan bahawa Akhramsyah telah menerima surat yang sama, dan tidak faham mengapa Akhramsyah juga dipecat sedangkan beliau adalah salah satu daripada tujuh anggota pengasas parti itu.

“Dia pun mungkin pendirian sama dengan saya. Jadi mungkin ini adalah satu dari usaha-usaha untuk membersihkan parti supaya tak ada orang yang menentang.

“Jadi tidak ada demokrasi dalam parti,” katanya.

Marzuki mendakwa tidak ada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan penjelasannya sebelum pemecatan.

Sementara itu, Anuar mendakwa pemecatannya sebagai timbalan pengerusi Bersatu Kedah adalah usaha kem Muhyiddin untuk membersihkan kepimpinan parti daripada penyokong Mahathir.

“(Sebelum ini) Mukhriz Mahathar depa dah pecat dah. Jadi sekarang, mereka jadikan saya sasaran, saya timbalan.

“Jadi tak ada siapa la lepas ni. Nampak tak? Jadi depa boleh kontrol la Kedah,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa pemecatan itu ada hubungan dengan laporan yang dibuatnya kepada SPRM dan lembaga disiplin parti terhadap Muhyiddin dan Suhaimi.

Anuar berkata, bahawa bersedia dipanggil oleh lembaga disiplin parti, tetapi kecewa kerana ini tidak dilakukan.

“Bagi saya, mudah saja, panggil saya berdepan lembaga tatatertib dan saya akan ceritakan segala-galanya ( tentang mengapa laporan dibuat)

“Tetapi mereka pengecut. Mereka pilih pecat saya,” katanya.

Anuar dalam satu kenyataan kemudian berkata bahawa beliau tidak mengiktiraf surat pemberhentian oleh Muhyiddin dan menganggapnya tidak sah, dengan alasan bahawa tindakan tersebut mesti dilakukan setelah berbincang dengan pengerusi parti.

https://bit.ly/2XuR6PT

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here