George Clooney: Perkauman wabak paling buruk di AS

“Kita amat memerlukan pembuat dasar dan ahli politik yang mencerminkan keadilan kepada semua rakyat.”

0
504
FOTO: Wikimedia Commons/Michael Vlasaty / CC BY (https://creativecommons.org/licenses/by/2.0)

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

PELAKON Hollywood George Clooney mengisytiharkan bahawa wabak paling buruk di Amerika Syarikat sebenarnya ialah sentimen perkauman.

Beliau berkata wabak tersebut telah menjangkiti semua rakyat negara itu selepas kematian tragis George Floyd di tangan seorang anggota polis kulit putih di Minneapolis baru-baru ini.

Menulis melalui kolum beliau dalam portal Daily Beast, Clooney berkata apa yang berlaku merupakan peringatan betapa minda rakyat Amerika tidak mampu berubah banyak sebagai sebuah negara setelah mengharungi zaman perhambaan kaum kulit hitam.

Bagi beliau protes ‘Black Lives Matter’ yang menyusuli pembunuhan Floyd di serata dunia kini adalah cerminan segala kemarahan dan kekecewaan yang sekali lagi dimainkan.

Pelakon berusia 59 tahun itu tidak teragak-agak menyifatkan kematian Floyd sebagai satu pembunuhan dan menggesa supaya digerakkan inisiatif untuk menukar cara penguatkuasaan undang-undang dan sistem keadilan jenayah di Amerika Syarikat.

“Kita amat memerlukan pembuat dasar dan ahli politik yang mencerminkan keadilan kepada semua rakyat,” jelas Clooney.

Merujuk kepada sikap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Clooney berkata rakyat tidak boleh terus menyokong dan mempertahankan seorang pemimpin yang mengapi-apikan kebencian kaum dan keganasan seolah-olah tindakan menembak penunjuk perasaan dan penjarah itu sesuatu yang remeh.

“Inilah pandemik kita. Ia menjangkiti semua dan sejak 400 tahun lalu kita masih belum memperoleh vaksin untuk mengubatinya. Kita seolah-olah telah berhenti berusaha untuk mencari penawar dan sebaliknya sekadar cuba merawat luka dari semasa ke semasa.”

Beliau merumuskan bahawa hanya terdapat satu cara untuk mengubati wabak tersebut, iaitu mencari kedamaian melalui peti undi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here