Kapten Namat masih sihat, berselera makan

2
970
GAMBAR terbaharu Namat Abdullah di rumah menantunya di Taiping, Perak.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

DATUK Namat Abdullah masih sihat!

Bekas kapten Malaysia dan Pulau Pinang ini juga berselera makan malah mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengimbas semula detik-detik bersejarahnya sebagai bintang bola sepak negara pada era kegemilangan 70-an.

Namat kini dijaga isterinya, Datin Mahani Sulaiman, anak dan menantu mereka di Taiping, Perak sejak menjalani pembedahan usus (ostomy bag) di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, Mac lalu.

“Dia sihat lagi. Cuma dalam gambar (ditular laman sosial sejak semalam) apabila dia tidak berbaju itu memanglah nampak badannya kurus cengkung.

“Bercakap pun Datuk Namat masih boleh,” kata Mahani ketika dihubungi BebasNews hari ini.

Namat, 74, paling diingati kerana aksinya dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Ingolstadt, Jerman Barat iaitu penampilan sulung dan bersejarah skuad negara pada temasya itu yang mengalahkan Amerika Syarikat 3-0 selain kalah kepada tuan rumah 3-0 dan Maghribi 6-0.

Antara turut beraksi dalam saingan Kumpulan A itu ialah adiknya yang juga penjaring gol, Shaharudin Abdullah, Allahyarham Salleh Ibrahim, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff, mendiang Datuk M. Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Wong Kam Fook dan Bahwandi Hiralal.

Mereka menempah tiket Olimpik selepas menundukkan Jepun 3-0 dan Korea Selatan 1-0 serta membelasah Taiwan 3-0 dan Filipina 5-0 dalam pusingan kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, setahun sebelumnya.

Selain mengetuai pasukan negara dan menjuarai Pestabola Merdeka dan meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, bekas pegawai Jabatan Penjara kelahiran Butterworth ini menyarung jersi Pulau Pinang dan Malaysia dari 1965 hingga 1975.

Menantunya, Dzulizwar Mohd. Bakir berkata, “selepas menjalani pembedahan itu, dia lebih berselera makan. Kalau sebelum itu, makan pun hanya tiga empat kali bersuap sahaja.

“Raya Aidilfitri baru-baru ini, kami sajikan Datuk dengan nasi himpit dan kuah kacang yang memang kami tahu itulah juadah kegemarannya.

“Datuk pun masih kuat daya ingatannya. Dia boleh bersembang kisah bola sepak silamnya dengan rakan-rakan dan anak-anak buahnya dalam Jabatan Penjara dulu ketika mereka berziarah raya,” kata menantunya yang hanya dikenali sebagai Zul.

Namat mempunyai tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.

Jelasnya, Namat walau bagaimanapun masih mengalami sakit strok (angin ahmar) pada sebelah kiri badan dan perlu diurut sekali-sekala selain bergerak dengan berkerusi roda.

“Sebelum ini, ada rakan-rakan bekas sepasukan bola sepak yang pernah datang menziarahi Datuk ketika di rumah lamanya di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Kata Dzulizwar, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang rentas negeri dan ziarah hanya boleh pada Aidilfitri pertama, ramai rakan Namat tetap bertanya khabarnya menerusi telefon.

“Antaranya Datuk Mohamad Bakar (seorang lagi anggota skuad Olimpik 1972), Datuk Shukor Saleh (bekas penolong kapten negara yang layak ke Olimpik Moscow 1980) dan Johari Maina (bekas pemain negara dan Pulau Pinang),” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

2 COMMENTS

  1. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan rahmat drp Allah swt.
    Beliau merupakan Jurulatih saya ketika menjalani kursus Pegawai Penjara Tkn. II tahun 1986 di Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here