TYT: Mohd Ali Rustam pilihan tepat?

0
610
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam di Istana Negara, hari ini. Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka itu berkuat kuasa hari ini sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan hari ini. Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Mohd Ali. --fotoBERNAMA

Oleh Amran Mulup

MELAKA — Tarikh 4 Jun terpahat dalam lipatan sejarah apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri
Melaka Ke-7 menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatanya hari ini.

Selepas 63 tahun dan hari ini (4 Jun) Mohd Ali Rustam menerima Surat Cara Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di
Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang ini.

Beliau juga turut dianugerahi Darjah Kebesaran Persekutuan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun.

Anak kelahiran Bukit Katil Melaka itu menjadi menarik perhatian kerana beliau merupakan anak kelahiran Melaka yang pertama dilantik memegang jawatan berkenaan mulai esok (5 Jun).

Ini kerana enam penyandang jawatan tersebut berasal dari negeri lain sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Mereka yang dilantik memegang jawatan tersebut di mana dua dari Perak manakala setiap seorang pula dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Enam Yang di-Pertua Negeri Melaka terdahulu ialah Tun Leong Yew Koh (31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959, berasal dari Sungai Siput, Perak); Tun Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971, berasal dari Kg Chengkau, Negeri Sembilan) dan Tun Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 – 9 Mei 1975, berasal dari Hulu Langat, Selangor).

Manakala tiga lagi ialah Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 – 30 Nov 1984, berasal dari Tanjung Kerian, Perak); Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin (4 Dis 1984 – 3 Jun 2004 berasal dari Kulim, Kedah) dan Tun Mohd Khalil Yaakob (4 Jun
2004 – 4 Jun 2020, berasal dari Kuantan, Pahang).

Tiada siapa mampu menyanggah bahawa keputusan Yang di- Pertuan Agong melantik Mohd Ali Rustam sebagai Yang di- Pertua Negeri Melaka yang baharu adalah keputusan paling
tepat dan sesuai dengan keperibadian beliau sewaktu menjadi Ketua Menteri Melaka selama tiga penggal.

Pemimpin berjiwa rakyat ini diakui seluruh rakyat di negeri ini malahan juga dari luar. Ada yang yang mengakui Mohd Ali Rustam, pemimpin berjiwa rakyat iaitu satu dalam sejuta kerana sikap prihatinnya terhadap rakyat.

Sepanjang menjadi Ketua Menteri beliau tidak pernah membezakan usia, warna kulit atau darjat seseorang itu hingga sanggup menghadiri sebarang majlis pengebumian, majlis
khenduri kahwin dan sebagainya.

Dalam diarinya tidak ada istilah ada cuti hujung minggu atau cuti am. Saban hari beliau turun meninjau rakyat, membantu mereka yang susah tanpa mengira apa bangsa sekali pun.

Rumah kediaman rasmi di Seri Bendahara sewaktu menjadi Ketua Menteri pula tidak pernah ditutup kepada rakyat untuk bertemunya sejak dari pukul 7 pagi hingga 3 pagi setiap hari melainkan beliau tidak ada di Melaka.

Beliau akan melayan orang ramai yang datang ke Seri Bendahara. Itu keutamaanya berkhidmat untuk rakyat. Kadangkala ia mengambil masa antara satu hingga tiga jam.

Keadaan itu menyebabkan majlis yang sepatutnya beliau hadir akan terlewat antara sejam atau dua jam.

Bagi golongan wartawan, rutin Mohd Ali Rustam itu sudah cukup masak. Namun mereka tetap setia menanti sehingga beliau hadir.

Apabila beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat, rumahnya di Bukit Katil yang dulunya dijadikan galeri pula terus dikunjungi rakyat daripada lapisan bangsa untuk meminta pertolongan atau bantuan.

Rutinnya mengunjungi rakyat tetap berjalan seperti biasa biarpun beliau tidak lagi bergelar wakil rakyat atau Ketua Menteri.

Namanya tenggelam seketika apabila tewas buat kali kedua dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang mengejutkan.

Biarpun begitu Mohd Ali Rustam yang dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil tetap tidak duduk diam dan meneruskan rutin harian seperti biasa.

Begitulah tersohornya nama Mohd Ali Rustam sejak dulu kini selamanya. Dalam kalangan rakyat di negeri ini nama beliau terus meniti dibibir mereka kerana sikap prihatinnya terhadap rakyat di negeri ini.

Sudah tentu pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat berbilang kaum di negeri ini.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here