Sulh (perdamaian) itu lebih baik

0
338
fotoBERNAMA

Oleh Hafiz Hassan

SEJAK berita ‘pemecatan’ Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi Ahli Parlimen (AP) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan media, beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah tampil menjelaskan keadaan.

Antara yang terawal tampil ialah ahli MPT Wan Saiful Wan Jan. Ia diikuti dengan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Beliau dilantik oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kededuanya menjelaskan bahawa Tun M dan empat AP yang lain itu – dijolok dengan gelar ‘Bersatu 5’ – bukan dipecat tetapi keahlian mereka gugur mengikut fasal yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu.

Akibat tindakan yang bertentangan dengan parti, keahlian mereka “terhenti secara serta merta”. Tindakan bertentangan itu termasuk duduk di kerusi pembangkang ketika pembukaan Parlimen 18 Mei lalu.

Muhyiddin sendiri tampil selepas itu dan menjelaskan perkara yang sama disamping mempertahankan langkah menggugurkan keahlian Bersatu 5.

Saya bukanlah seorang pengamat politik, cuma minat membaca isu-isu semasa yang melibatkan isu undang-undang.

Saya membaca dua fasal perlembagaan Bersatu yang menjadi ‘dalil’ pengguguran keahlian Bersatu 5, iaitu fasal 10.2.2 dan 10.2.3 lalu timbul kemusykilan.

Jika tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan Bersatu adalah duduk di kerusi pembangkang ketika pembukaan Parlimen 18 Mei lalu, bukankah tindakan Bersatu 5 itu sebahagian daripada hak istimewa Parlimen?

Hak istimewa ini dilindungi perlembagaan – bukan perlembagaan Bersatu tapi lebih tinggi daripada itu, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam bahasa Parlimen, hak istimewa Parlimen (parliamentary privilege) bermaksud hak dan kekebalan (immunity) yang ada pada setiap Dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) dan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen secara kolektif, dan yang ada pada setiap AP secara individu yang tanpanya seseorang AP itu tidak dapat menjalankan tugas dan fungsi sebagai seorang AP secara berkesan.

Hak istimewa Parlimen ini, bersama dengan kekebalannya, bermaksud untuk membolehkan setiap Dewan dan AP menjalan tugas secara berkesan tanpa diganggu atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak di luar Parlimen.

Dalam kata lain, ia bermaksud untuk melindungi kebebasan, wewenang dan kemuliaan sebuah institusi penting dalam sistem pemerintahan atau kerajaan demokratik berparlimen.

Satu-satunya hak terpenting ialah hak bersuara. Secara umumnya, setiap AP mempunyai kebebasan untuk bersuara di dalam Dewan dan dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk di bawah Aturan Mesyuarat (Standing Orders).

Dengan kebebasan ini, seorang AP boleh bercakap secara terbuka dan terus terang tanpa bimbang padahnya di sisi undang-undang.

Hak istimewa Parlimen memberikan seorang AP kekebalan dari tindakan mahkamah. Ini bermakna tindakan tidak boleh diambil terhadap mana-mana AP disebabkan sesuatu yang disuarakan atau dilakukan semasa persidangan atau prosiding Parlimen.

Terdapat dua aspek dalam konsep kekebalan ini. Pertama, kekebalan dari tindakan sivil dan jenayah semasa mengambil bahagain dalam prosiding Parlimen. Kekebalan ini dipanjangkan juga kepada pihak-pihak lain yang mengambil bahagian dalam sesuatu prosiding Parlimen.

Kedua, prosiding Parlimen itu sendiri diberi kekebalan dari dipertikaikan dalam mahkamah.

Kekebalan ini malah diberikan oleh Perlembagaan seperti dinyatakan dalam Fasal 63(2) Perlembagaan Persekutuan:

“Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Dewan Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.”

Peruntukan Perlembagaan ini dengan jelas menyebutkan “semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding” Dewan. Saya kira, di mana duduk seseorang AP itu semasa mengambil bahagian dalam prosiding Dewan termasuk dalam keistimewaan yang ada pada seorang AP.

Ianya adalah antara hak istimewa Parlimen yang dilindungi Perlembagaan.

Seseorang AP barangkali dipilih pengundi berdasarkan kepartiannya, tetapi di dalam Dewan beliau tidak terikat pada kepartian semasa mengambil bahagian dalam prosiding Dewan.

Sebab itu, duduk seseorang AP itu di dalam Dewan tidak berdasarkan pada kepartian tetapi ditetapkan oleh Speaker Dewan berdasarkan pada kuasa yang diberikan di bawah Aturan Mesyuarat.

Secara tradisinya, AP dari parti yang membentuk kerajaan duduk di kerusi di sebelah kanan Speaker di mana Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan duduk di barisan paling hadapan.

Sementara AP dari parti yang membentuk barisan pembangkang duduk di kerusi di sebelah kiri Speaker. Ketua pembangkang akan duduk di kerusi bertentangan dengan Perdana Menteri.

Tetapi susunan ini bukanlah sesuatu yang qat’i atau putus dalam ertikata wajib dilakukan. Sebab itu, pada dasarnya seseorang AP itu boleh duduk di galeri awam sekiranya beliau berkehendakkan sedemikian.

Seseorang AP yang berkehendakkan begitu bolehlah dikatakan orang “buang tebiat” tetapi “buang tebiat” sedemikian sebenarnya dibenarkan dalam Dewan. Tiada apa-apa tindakan boleh dikenakan terhadapnya.

Cuma, seseorang AP yang tidak duduk di kerusi yang ditetapkan biasanya tidak akan dipanggil untuk berucap di dalam Dewan. Speaker ada kuasa untuk berbuat demikian di bawah Aturan Mesyuarat. Speaker adalah penjaga hak istimewa Parlimen tetapi pada masa yang sama penguatkuasa peraturan Dewan.

Sebab itu, menjadi tradisi dan amalan Parlimen bahawa parti-parti politik dalam Parlimen melantik whip supaya disiplin parti dalam Dewan boleh dipastikan.

Whip itu ibarat guru disiplin. Beliau ialah pengurus parti dalam Parlimen yang bertanggungjawab mengaturkan penyertaan para AP dari partinya dalam perbahasan dan pengundian. Tugas beliau yang paling penting ialah menghimpunkan para AP di pihak masing-masing dan memastikan mereka menyokong pendirian parti semasa pengundian.

Perhatikan bahawa tugas beliau tidak termasuk menetapkan di mana AP dari partinya duduk di dalam Dewan kerana itu ketetapan Speaker. Cuma, biasanya Speaker akan merujuk kepada whip sebelum menetapkan duduk kerusi seseorang AP.

Kesimpulannya, seperti yang dinyatakan, “buang tebiat” seorang AP untuk duduk di mana di dalam Dewan dibenarkan. Di Dewan Rakyat (House of Commons) UK, kekadang berlaku kejadian di mana seorang AP secara sengaja memilih untuk duduk di barisan hadapan yang kebiasaannya diduduki oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan.

Begitu juga, kekadang itu seorang AP secara sengaja beralih ke kerusi barisan bertentangan. Ia disebut sebagai crossing the floor. Tiada tindakan boleh dikenakan oleh Dewan ke atasnya.

Sebab itu, ada kemusykilan samada Bersatu 5 boleh diambil tindakan oleh parti mereka sehingga membawa kepada pengguguran keahlian.

Pun begitu, saya bersetuju bahawa pengguguran keahlian Bersatu 5 – sama ada ia suatu pembersihan parti atau bukan seperti analisa pengamat politik – hanya akan melanjutkan kemelut politik Malaysia. Bersatu akan berhadapan dengan cabaran dan tindakan Tun M termasuk dari segi undang-undang, meskipun ada halangan dari segi undang-undang itu sendiri.

Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyebutkan:

“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaannya … tentang pentafsiran perlembagaan … atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.”

Berdasarkan kes-kes lampau, seksyen 18C bagai tidak menghalang pihak-pihak berkenaan untuk memulakan prosiding mencabar keputusan parti di mahkamah.

Inilah antara penyumbang kepada kemelut berpanjangan sedang sulh (perdamaian) itu lebih baik (Surah an-Nisa: 128)

”Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai);”

Seperti saran Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob, damailah. https://bebasnews.my/?p=38070.

Hafiz Hassan merupakan pembaca BebasNews

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here