Penjarakan sosial di IB: Guna 505 kerusi sahaja daripada 1,404

0
1179
DAHULU: Sejak mula beroperasi pada tahun 1999, Panggung Sari, Istana Budaya boleh menampung penonton seramai 1,404 orang.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu demi mengawal penularan pandemik Covid-19, ia bukan sahaja mengubah norma kehidupan harian kita malah ia juga menjejaskan aktiviti industri seni.

PKP diikuti PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) bukan sahaja tidak membenarkan penggambaran filem atau drama malah persembahan hiburan dan pawagam juga turut terhenti.

Walaupun ia amat memeritkan bagi industri seni namun apa yang pasti semua itu demi kebaikan bersama dan bermula pertengahan Jun ini, semua aktiviti seni dibenarkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKMM).

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu penjarakan sosial, kini kerusi panggung hanya tinggal 505 sahaja untuk penonton.

Dalam menyentuh soal SOP yang mana penjarakan sosial 1 meter antara satu dengan lain ketika kerja-kerja penggambaran, Panggung Sari yang menjadi kebanggaan Istana Budaya juga tidak terlepas daripada syarat yang ditetapkan.

“Bagi memastikan Panggung Sari boleh mengadakan acara atau pementasan apabila diumumkan oleh kerajaan, atas arahan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pihak Istana Budaya telahpun melakukan proses mengikut SOP.

“Pada 22 April lalu sebuah syarikat yang diberi kebenaran telahpun dipanggil untuk menjalankan proses nyahkuman keatas semua kerusi di Panggung Sari sebelum susun atur dijalankan.

“Setelah proses nyahkuman selesai, Bahagian Pemasaran & Pengurusan Panggung mengambil masa dua hari bermula 1 Jun untuk menyusun kerusi panggung mengikut penjarakan sosial seperti yang ditentukan oleh SOP, ” kata Ketua Pengarah, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui di Istana Budaya semalam.

DATUK Mohamed Juhari Shaarani di susun kerusi panggung yang mengikut SOP.

Menurut beliau, melalui proses susun kerusi mengikut SOP daripada 1,404 kerusi di Panggung Sari kini hanya tinggal 505 sahaja untuk penonton.

Beliau memberitahu apabila kerajaan mengumumkan boleh diadakan acara atau pementasan, IB akan menerbitkan teater muzikal “Siti Di Alam Fantasi” sebagai produksi pertama.

Teater “Siti Di Alam Fantasi” bukanlah satu penerbitan baharu malah ia pernah dipentaskan selama enam hari bermula 21 November 2019.

Teater itu sepatutnya menemui para peminatnya selama lapan hari bermula 14 Mac lalu tetapi dibatalkan kerana PKP.

Sepanjang PKP, selain ‘membatalkan’ teater muzikal berkenaan Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia juga ditangguhkan.

Konsert sulung Khai Bahar yang sepatutnya berlangsung dua hari bermula 27 Mac dan diterbitkan oleh Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd. ditangguhkan setelah mendapat nasihat daripada pihak IB berikutan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun konsert Khai Bahar ditangguhkan kepada satu tarikh yang masih belum ditentukan Khai Bahar dan Penerbit konsert, Fauziah Ahmad Daud menganggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan berharap para peminat penyanyi berkenaan dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Selain konsert Khai Bahar yang ditangguhkan adalah difahamkan satu konsert seorang penyanyi popular akan diadakan di IB pada Ogos ini.

Bagaimanapun, kata Mohamed Juhari, buat masa ini tiada apa-apa perbincangan dilakukan antara IB dan penyanyi berkenaan berikutan PKP.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here