Pelantikan ahli politik dalam GLCs dan tadbir urus korporat yang baik

0
520

Oleh Professor Madya Dr Azmi Abd Hamid

PELBAGAI pandangan telah dilontarkan dari semua lapisan masyarakat berkaitan pelantikan ahli politik sebagai pengerusi atau pengarah GLCs. Tidak kurang juga yang melihat pelantikan sedemikian sebagai cara untuk memperkukuhkan kedudukan politik kumpulan tertentu. Dari sudut pandangan saya sebagai bekas ahli akademik dalam bidang tataurus korporat, semua itu adalahberpaksi kepada emosi politik kepartian dan tidak melambangkan pengurusan dan pentadbiran GLCs melalui tataurus korporat terbaik.

Perkara utama  yang perlu dipersoalkan ialah, kopetensi dan kepakaran individu yang dilantik dan kebersesuaian individu untuk menggalas tugas dan memikul amanah yang diberi. Malah, yang lebih penting, adakah mereka mempunyai integriti dan akauntabiliti untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada GLCs Justeru, factor-faktor ini yang seharusnya dipertimbangkan , dan bukan merujuk kepada latarbelakang politik individu yang dicalonkan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa mana-mana kerajaan yang memerintah sesebuah negara, ahli-ahli politik pro-kerajaan akan diberikan tanggung-jawab untuk mengemudi GLCs. Tanggung-jawab ini perlu dilihat sebagai amanah yang perlu digalas, bukan untuk bersedap-sedap dan ghairah dengan jawatan dan imbuhan yang bakal diterima. Tanggung-jawab ini perlu dijunjung agar syarikat GLCs dapat memacu perkembangan sebagaimana yang termaktub di dalam Visi, Misi dan Objektif syarikat.  Seandainya berlaku kegagalan dalam pengurusan GLCs, kerajaan yang memerintah akan dilihat sebagai   gagal dalam usahanya memakmurkan pemegang-taruh (rakyat).

Kita juga sedia maklum bahawa mengemudikan GLCs tidak sama seperti menguruskan parti politik.  GLCs adalah syarikat besar yang bermodal tinggi dan mengepalai perniagaan strategik negara. Aktiviti perniagaan mereka bukan sahaja di Malaysia, malah merentasi seluruh dunia. Justeru itu, GLCs mendambakan individu yang benar-benar kompeten, ada kepakaran dalam industri GLCs, berbakat dalam soal perniagaan (business acumen), penyelesai masalah (problem solver), keupayaan memimpin (leadership) dan daya keusahawanan (entreprenuership). Apa yang paling penting ialah mereka perlu memahami bagaimana untuk menerapkan budaya tataurus korporat yang terbaik dalam GLCs tersebut. Ini adalah untuk memastikan GLCs tidak disalahgunakan sebagai platform untuk kepentingan peribadi dan imbuhan kepada pihak tertentu. Tataurus korporat terbaik juga akan memastikan GLCs dapat diletakkan sebaris dengan syarikat-syarikat gergasi di dunia.

Oleh kerana tidak ramai ahli politik yang mempunyai ciri-ciri seperti diatas,  golongan professional perlu diserapkan dalam pengurusan tertinggi GLCs.  Kita sedia maklum, golongan ini memang telah terlatih dan menunjukkan prestasi yang mengkagumkan dalam pengurusan syarikat gergasi. Gandingan padu ini pasti akan membuahkan pulangan keuntungan yang terbaik bagi semua pemegang taruh. Ahli politik dapat menerapkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat melalui dasar dan polisi kerajaan yang berkesan manakala golongan professional memacu prestasi syarikat ke tahap tertinggi. Pihak syarikat juga dapat mengimbangi prioriti kewujudan syarikat dan kesejahteraan pemegang taruh terutamanya rakyat.

Ahli politik yang dilantik menerajui GLCs  tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Prestasi mereka perlu  sentiasa dipantau oleh kerajaan dan lain-lain pihak yang berkepentingan. Ini kerana, mereka akan ditanya dalam parlimen berkaitan syarikat yang diterajui. Sekiranya tidak menunjukkan pertambahan nilai kepada syarikat, kerajaan boleh menamatkan kontrak dan tugas mereka pada bila-bila masa. Sesungguhnya beban dan tanggung-jawab yang digalas amatlah rumit dan berat. Sekiranya sanggup, dan punya ciri-ciri yang diperlukan, dipersilakan. Namun, sekiranya, tidak menepati ciri-ciri tersebut, masih ada ramai individu lain yang lebih professional boleh dipertimbangkan untuk memikul beban tersebut. Akhir kata, tepuk dada tanya selera.

Dr Azmi Hamid mendapat Pendidikan di UiTM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Pada tahun 1997, beliau melanjutkan pengajian di peringkat Master di Universiti Malaya. Seterusnya, pada tahun 2003, beliau melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Exeter, UK dalam bidang Corporate Governance. Telah mengajar pelajar-pelajar sarjana dan PhD selama 10 tahun dalam bidang tersebut. Beliau juga sering membentangkan kertas kerja dan menjadi Keynote Speaker dalam berbagai persidangan Corporate Governance dan Risk Management. Sekarang beliau menjadi Trainer dan Konsultan dalam bidang Corporate Governance.

-BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here