Neera jadi Minah Indon

0
1010
NEERA Azizi berlakon sebagai Sha, pelajar dari Indonesia yang cuba meraih cinta daripada Faizul.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KALAU anda peminat drama, Nasi Kerabu Untuk Che Abe, pasti geram tengok gelagat Sha yang tergedik nak miliki cinta Faizul walaupun bertepuk sebelah tangan.

Mesti ada yang kata, Minah Indon ni tak faham bahasa ke, si Faizul tu dah kahwin dengan Shera. Biasalah bila menonton drama ada kalanya kita terbawa emosi sekali, sedangkan itu hanyalah lakonan semata-mata.

Bagi pemegang watak Sha, lakonan Nurazneera Azizi atau Neera, 22, itu bukanlah kali pertama beliau melakonkan watak antagonis sebagai pengacau rumah tangga orang.

“Ini bukan kali pertama Neera melakonkan watak pengacau rumah tangga orang sejak berlakon. Untuk drama ini, watak Sha lebih kurang sama saja dengan watak-watak yang pernah Neera lakonkan sebelum ini.

“Neera akan menjadi jahat sebab nak rampas laki orang tapi tak dapat. Kali ini berbeza sikit sebab Neera memegang watak sebagai orang Indonesia. Kelainannya kat situ sebab Sha adalah orang seberang,” katanya kepada BebasNews.

Beliau yang mula berlakon sejak 2016 berkata, untuk melakonkan watak Sha, pelajar dari Indonesia bukan masalah besar kepadanya.

Jelas Neera, segala tutur kata yang diucap oleh Sha dalam drama 13 episod arahan Heykal Hanifah itu atas inisiatifnya sendiri.

“Neera tidak pernah belajar bercakap bahasa Indonesia daripada sesiapa. Lagipun Neera dapat tawaran berlakon untuk drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe last minute.  Skrip yang dapat dalam bahasa Malaysia, sedangkan watak Sha adalah orang Indonesia.

SERING diberi watak sebagai pengacau rumah tangga orang termasuklah drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe.

“Bahasa Indonesia Neera taklah berapa bagus tapi ahamdulillah sejak drama ini ditayangkan semua komen positif. Penonton boleh terima Neera punya bahasa Indonesia sebab mereka faham Neera bukan orang Indon sebenar.

“Mungkin Neera punya kelebihan adalah daripada kecil Neera suka tengok cerita Indon (Indonesia). Sekarang ni pun kalau tengok Netflex, cerita Indon yang menjadi pilihan Neera.

“Bila sering tonton, Neera dah tahu ayat-ayat dan tonasi. Untuk watak Sha tu, Neera belajar sendiri tak ada pun rujuk pada mana-mana orang Indonesia,” jelasnya panjang lebar.

Bercerita lanjut tentang pengalamannya berlakon dalam drama tersebut, kata Neera, beliau selesa dan seronok sepanjang berada di set penggambaran. Kebanyakan pelakon yang terlibat sudah pernah berlakon bersama sebelum ini.

“Alhamdulillah, kebanyakan mereka sudah pernah berlakon dengan Neera dan mudah untuk kami dapatkan keserasian. Contohnya, Neera banyak adegan dengan abang Issey Titan (Arman) dan kadang-kadang dia yang ajar sebutan bahasa Indonesia dengan betul.

“Begitu juga dengan abang Izzue Islam (Faizul), dia seorang yang kelakar. Neera pernah berlakon dengan dia dalam Patahnya Sebelah Sayap. Bila dapat job ni dan jumpa tak rasa kekok sebab kita dah pernah menjalani penggambaran bersama. Keserasian tu dah dah.

“Dengan Elisya pun Neera okey. Kadang-kadang dalam cerita ini kita orang bergaduh on set, bila keluar gelak-gelak itu yang best. Mereka semua jenis yang main-main tapi bila on set semua serius dan saling membantu.

“Sebelum penggambaran, kita orang akan berbincang bersama pengarah untuk menjadikan adegan itu mantap. Setakat ini, majoriti netizen komen cerita ini kelakar dan tak ada adegan yang bosan. Sebab kita dah bincang ramai-ramai sebelum penggambaran supaya cerita ini tak membosankan,” kongsi Neera tentang pengalamannya di lokasi.

Tambahnya, disebabkan para pelakon sentiasa ceria bila berada di set penggambaran, adegan yang serius boleh bertukar menjadi kelakar.

Kata Neera untuk adegan watak Sha dirogol Arman, mereka terpaksa ulang lakon kerana semua yang terlibat di set tidak dapat menahan ketawa.

“Bagi Neera banyak kenangan manis sepanjang penggambaran. Antaranya, sewaktu babak rogol. Dengar seriuskan adegan tu tapi sebenarnya kelakar. Sebelum shot adegan itu, kita orang dah bincang.

“Kelakarnya waktu nak kena  rogol boleh gelak pula. Bila Neera terpandang muka pengarah dan kru, mereka semua sedang gelak sedangkan itu adegan sedih,” ceritanya sambil ketawa.

Memandangkan kerajaan telah membenarkan produksi kembali menjalani penggambaran di lokasi, mulai 10 Jun ini, Neera akui tidak sabar untuk kembali beraksi.

Katanya sebelum PKP, beliau menjalani penggambaran dua drama iaitu Norlaila yang turut dilakonkan oleh Ady Ashraf dan Hana Aqila.

“Neera bawa watak antagonis, nak rampas laki orang juga. Drama ini diarah oleh abang Heykal juga. Sepatutnya dah lama habis penggambaran tapi disebabkan PKP terpaksa tangguh dulu.

“Drama kedua adalah Aku Yang Merinduimu, arahan Amor Rizan dari Radius One. Drama ini Neera jadi jahat juga dan Elisya pun ada. Sepanjang PKP ini Neera ada juga dapat tawaran berlakon daripada Orange Tree Production dan Radius One pun ada.

“Alhamdulillah, setakat ini ada beberapa produksi tawar Neera untuk drama dan telefilem termasuk juga daripada MIG. Tawaran tu ada tapi belum dapat tarikh sebab PKP. Doa-doalah lepas PKP ni dapat tarikh untuk memulakan penggambaran. Rindu nak turun ke lokasi,” katanya terus terang.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here