Saya akan buat yang terbaik- Ali Rustam

0
514
TUN Dr Mohd Khalil Yaakob melambai tangan kepada pengamal media sambil diperhatikan Tun Mohd Ali Rustam (kiri) sebelum meninggalkan Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka selepas Majlis Serah Terima Tugas Yang Dipertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Ayer Keroh hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali (dua, kanan). --fotoBERNAMA

Oleh Amran Mulup

MELAKA — “Buat kerja baik-baik,” ujar bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-6, Tun Mohd Khalil Yaakob kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur di Pejabat TYT, Ayer Keroh di sini hari ini (5 Jun).

Mohd Ali pula dilihat tersenyum sambil berkata: “Insyallah, saya akan buat yang terbaik,” ujarnya ringkas sambil mengangkat tangan mengucapkan selamat tinggal sebelum Mohd Khalil menaiki kenderaan meninggalkan Pejabat TYT.

Terdahulu, suasana hiba mengiringi Mohd Khalil yang semalam menamatkan tempoh empat penggal sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka sejurus selepas menghadiri majlis serah tugas kepada Mohd Ali di Pejabat TYT di sini.

Riak wajah Mohd Khalil nyata sedih sewaktu melangkah keluar
dari pejabat yang didudukinya sejak 2004 itu sambil diiringi Mohd Ali, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sambil melangkah Mohd Khalil sempat berbual-bual mesra dengan mereka yang hadir sambil sempat bergambar dengan kakitangan pejabat TYT.

Mohd Khalil dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan dan mendapat pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet iaitu sebagai Timbalan Menteri Pendidikan (1982-1984), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1984-1986) dan Menteri Penerangan (1999-2004) setelah menyandang jawatan Menteri Besar Pahang
kelapan selama 13 tahun bermula dari 1986 hingga 1999.

TUN Mohd Ali Rustam mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka itu bermula kira-kira 10.10 pagi ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA MELAKA, June 5 — Tun Mohd Ali Rustam takes oath of office as the seventh Yang Dipertua Negeri of Melaka at the Balai Istiadat of Seri Negeri in Ayer Keroh, today. The ceremony began at 10.10 am. –fotoBERNAMA

Begitupun kenangan 16 tahun terus terpahat dalam benak fikiran Mohd Khalil dan Mohd Ali. Bekas Ketua Menteri Melaka itu adalah orang yang memainkan peranan utama sehingga Mohd Khalil Yaakob dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 1 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Dalam satu pertemuan antara Mohd Ali Rustam pada 2004 ketika menjawat Ketua Menteri Melaka beliau telah bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melantik Mohd Khalil Yaakob menggantikan Syed Ahmad Shahabudin.

Sewaktu kunjungan singkat Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Melaka, baginda telah bersetuju dengan cadangan Mohd Ali Rustam untuk melantik Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-6.

Akhirnya pada 1 Jun 2004, Mohd Khalil Yaakob mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-6.

Sementara itu, Mohd Ali meminta jabatan dan agensi yang terlibat dengan pelancongan bersedia dengan pelan terbaik untuk memulihkan sektor tersebut yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

Beliau berucap selepas Majlis Angkat Sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Ke-7 di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh menegaskan, akibat penularan wabak Covid-19, sektor pelancongan di negeri ini terjejas teruk terutama dalam sektor perhotelan, produk pelancongan yang masih belum berupaya pulih dalam masa terdekat ini.

“Sektor pelancongan di negeri ini sekurang-kurangnya memerlukan masa setahun untuk pulih sepenuhnya, justeru saya minta semua pihak memikirkan langkah terbaik untuk memulihkan sektor ini,” ujarnya.

Sebagai langkah awal katanya, beliau mahu imej Melaka sebagai negeri bersih dan selamat perlu diberi keutamaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Jelasnya, kualiti produk pelancongan juga harus diberi keutamaan bagi menarik minat pelancongan domestik dan selepas itu kepada pelancong luar negara.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau mengakui Mohd Khalil sepanjang empat penggal menjawat jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan sempurna.

“Saya merasa amat sedih beliau (Mohd Khalil) tidak lagi berada di Melaka. Saya amat menyanjung beliau yang menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-6,” ujarnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here