Patuhi SOP penggambaran demi kelangsungan industri

0
392

PENGGIAT industri filem, drama dan periklanan menyambut baik keputusan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang telah meluluskan aktiviti penggambaran mulai 10 Jun depan.

Walaupun ia diawasi dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP), keputusan ini sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada penggiat industri kreatif yang rata-rata terdiri daripada pekerja sambilan.

Patuhi garis panduan

Ahli-ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang menerajui penerbitan dan telah mempunyai Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) mesti bersyukur dan berlapang dada dengan garis panduan yang tertera dalam SOP. Walaupun garis panduan itu mungkin agak mengekang tetapi perlu dipatuhi demi keselamatan serta kesihatan semua pihak yang terbabit.

Para penggiat haruslah bersedia membiasakan diri dengan kelaziman baharu demi kelangsungan hidup. Alhamdulillah perjuangan FDAM menuntut agar penggambaran dibenarkan sekurang-kurangnya pada Jun telah ditunaikan walaupun bersyarat.

Pihak penerbit pula hendaklah memainkan peranan lebih besar kerana ini projek mereka. Semua syarat dan peraturan dalam SOP hendaklah dipatuhi tanpa kompromi memandangkan ia membabitkan risiko kesihatan dan keselamatan.

Ini bukan perkara ringan sebaliknya mesti dianggap serius. Keprihatinan pihak kerajaan melalui MKN, KKM dan KKMM meluluskan permohonan meneruskan penggambaran ini hendaklah dihargai sepenuhnya.

Bersedia hadapi perubahan logistik

Sebagai presiden FDAM, saya ingin menarik perhatian bahawa pelaksanaan SOP penggambaran ini nanti tidak mudah seperti dijangka.

Beberapa aspek gerak kerja penerbitan hendaklah dikaji semula bagi menyesuaikan keadaan dengan tuntutan gerak kerja penggambaran di lapangan.

Misalnya, plot cerita perlu diubah, jumlah artis dan kru jika melebihi dua puluh orang perlu dikurangkan. Penerbit, pengarah, kru dan pelakon perlu peka kepada amalan kebiasaan baharu yang mesti diterima demi keselamatan semua pihak yang terlibat.

Antara kebiasaan baharu yang wajib diamalkan termasuk mengawasi lakonan fizikal bagi mematuhi penjarakan sosial.

Hal logistik juga perlu diambil perhatian seperti pemilihan zon lokasi, penggunaan pakaian, khidmat pengangkutan, kaedah penyediaan makanan, pemakaian pelitup separuh muka, proses nyahkuman, pensanitasian alatan teknikal dan sebagainya harus dirancang dengan bijaksana.

Semua amalan ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kepada jadual penggambaran. Kemungkinan besar tempoh penggambaran terpaksa dilanjutkan, pergerakan logistik makin membebankan, kadar sewaan alatan bertambah, penyediaan penyelia kesihatan dan cara baharu penyediaan makanan akan meningkatkan perbelanjaan penerbitan. Penerbit tidak mempunyai pilihan. Mereka mesti sanggup menempuhi cabaran baharu ini.

Tanda aras industri

Kesemua data kru dan artis hendaklah direkodkan sekurangnya 14 hari sebelum penggambaran dan 14 hari juga mereka akan dikuarantin selepas penggambaran. Masalah yang timbul nanti ialah sejauh mana arahan pematuhan SOP memberi kesan kepada industri dalam jangka masa panjang. Realti sebenar gerak kerja penerbitan khususnya penggambaran dilihat sukar untuk dilunasi dalam beberapa kes ekstrem.

Pada masa sama, FDAM menghargai usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menganjurkan sesi taklimat bersama wakil persatuan industri kreatif pada 5 Jun bagi membuka ruang kepada para penggiat untuk bersoal jawab bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan SOP penggambaran yang mula dimuat naik di laman sesawang www.finas.gov.my mulai 9 Jun.

Sekiranya wujud isu yang menjejaskan persefahaman antara pengarah dengan penerbit yang berkemungkinan mengganggu urusan penerbitan, FDAM sedia menyumbang buah fikiran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Pematuhan SOP penggambaran ini nanti akan digerakkan atas dasar situasi “menang-menang’ yang pastinya akan menguntungkan semua pemegang taruh termasuk stesen penyiaran dan pemilik panggung.

Jika aktiviti penggambaran ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah dan pelanggaran SOP, ia pasti akan menjadi tanda aras kepada perkembangan industri perfileman pada era pasca-COVID-19 nanti.

-BERNAMA

Ahmad Ibrahim merupakan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM)

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here