Padan Muka kisah benar Chubb-E

0
646
Chubb-E tampil dengan single ketiga, Padan Muka sejak 15 Mei lalu.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ASALNYA single ketiga dendangan Chubb-E iaitu Padan Muka dicipta untuk beliau berkolaborasi dengan seorang penyanyi wanita dari luar negara.

Perancangan yang dibuat tidak menjadi dan akhirnya Padan Muka yang dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei lalu menampilkan dendangan solo Chubb-E saja.

Menurut Chubb-E, lagu bergenre urban hip hop yang merupakan ciptaan sepenuhnya itu dihasilkan pada Ogos tahun lalu.

“Mulanya saya cipta lagu ini untuk saya berkolaborasi dengan seorang penyanyi wanita luar negara. Masa berjumpa, saya teruja nak bekerjasama dengannya. Jadi, saya cuba cipta satu lagu yang sesuai dengan kami. Sebab itu ambil masa lama kerana nak cari nota lagu yang sesuai.

“Namun, lama kelamaan artis itu menghilang. Dalam masa sama, dia ada masalah tersendiri. Syarikat rakaman pula mendesak untuk saya keluarkan juga lagu ini dengan artis lain. Tapi, bagi saya lagu ini tak sesuai dengan penyanyi lain. Apabila fikir semula mungkin bukan rezeki saya untuk ‘feat’ dengan sesiapa. Jadi, saya keluarkan saja lagu ini secara solo,” jelasnya.

Tambahnya, lagu Padan Muka adalah kisah benar mengenai dirinya yang pernah dipandang rendah, diejek dan orang tak percaya yang beliau boleh pergi jauh.

Malah, kata Chubb-E, kawan sekolah juga tak percaya dan memandang rendah cita-cita dan impiannya kerana beliau lemah dalam akademik.

“Apabila sudah berjaya dan capai sasaran, tiba-tiba ramai datang termasuk yang pernah ejek dan pandang rendah pada saya dulu.

“Dalam masa sama, orang boleh menjadikan lagu ini sebagai inspirasi dan kaitkan dalam diri masing-masing jika melalui perkara sama,” kata pemilik nama sebenar Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy.

Berkongsi mengenai lagu itu, Chubb-E yang juga bekas juara program Ceria Megastar 2018 mengakui masih mengekalkan genre muzik sama yang disifatkan sebagai ‘forte’ dan identiti dirinya.

“Dari dulu saya bermula dengan genre ini yang mana ia juga ‘forte’ saya. Macam mana sekali pun bunyi saya gunakan, ‘mood’ lagu saya bawa tetap ada bunyi hip hop. Tak boleh lari.

“Kalau buat pop balada sekali pun, tetap akan ada sentuhan bunyi hip hop. Saya mahu dikenali sebagai artis hip hop yang versatil. Ada juga saya buat lagu pop untuk artis lain, tapi bunyi hip hop tetap ada. Jadi saya akan kekalkan muzik ini,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Chubb-E yang turut terbabit dalam program Dansa Sing bersama Youngsters Crew berhasrat menghasilkan ‘mix tape’ atau album EP yang memuatkan lagu hip hop rap sepenuhnya.

“Perancangan akan datang, saya nak mencipta dan menerbitkan lebih banyak lagu untuk artis lain. Untuk berkolaborasi dengan artis lain rasanya belum lagi kerana saya nak kena cukupkan lima single solo dulu.

“Saya juga merancang nak keluarkan ‘mix tape’ atau EP yang mengandungi keseluruhan lagu rap untuk peminat saya dengar. Saya nak cuba pelbagai genre lagu, tapi masih ada sentuhan hip hop,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, video muzik lirik lagu Padan Muka boleh ditonton di saluran YouTube FutureMusic Entertainment.
Video muzik lirik yang dimuat naik sejak seminggu lalu itu sudah mencecah tontonan lebih 15,000.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here