Ahmad Idham gembira terus diberi kepercayaan

0
632
Ahmad Idham di majlis sidang media Festival Filem Malaysia ke 29 di Kuala Lumpur pada September 11, 2017. ROHAIZAT MD DARUS/STAR.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR — Pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi tersebut.

Semalam FINAS dalam satu kenyataannya mengumumkan pelantikan Ahmad Idham, sebagai CEO yang baharu, berkuat kuasa 5 Jun 2020 hingga 6 Jun 2022.

Kali pertama Ahmad Idham dilantik sebagai CEO FINAS pada 11 Mac 2019 dan berdasarkan kontrak lantikan, tanggungjawab itu akan berakhir pada Mac 2021.

Namun disebabkan faktor peribadi beliau memohon untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac 2020 dan kini kembali menjawat jawatan tersebut.

Ahmad Idham ketika dihubungi BebasNews berkata, beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan jaya selepas dilantik semula untuk menerajui FINAS.

“Saya bersyukur atas pelantikan ini kerana masih mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli perbadanan FINAS.

“Berbekalkan pengalaman melebihi 20 tahun sebagai penggiat seni dan juga pengalaman sebelum ini sebagai CEO FINAS, saya yakin untuk melaksanakannya dengan jaya,” kata beliau.

Ahmad Idham yakin dapat memacu FINAS ke arah yang lebih cemerlang kerana rata-rata ahli Lembaga FINAS terdiri daripada pakar-pakar industri.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here