Kerajaan lantik Wan Zulkiflee ke MAB, Tengku Taufik untuk Petronas

0
1081
WAN Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) akan mengetuai Malaysia Airlines Berhad, sementara Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengepalai Petronas bermula 1 Julai ini.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan dua pelantikan baru bagi menerajui syarikat milik kerajaan.

Mereka ialah Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai pengerusi baru Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bagi jawatan presiden merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Muhyiddin dalam kenyataan hari ini berkata, 2 pelantikan itu yang berkuat kuasa 1 Julai ini adalah bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,”katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wan Zulkiflee yang menerajui dan bersama-sama Petronas selama 37 tahun.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama Petronas. Beliau telah berjaya mengekalkan Petronas sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

“Petronas juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, MAB akan dapat distrukturkan semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus baik,” katanya.

Muhyiddin berkata, industri minyak dan gas kini melalui cabaran hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merudum.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama pengerusi sedia ada, Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin Petronas ke mercu kecemerlangan,” katanya.

https://bit.ly/2Y5oxI5

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here