Kelayakan Piala Dunia/Asia dicadang Oktober dan November, Harimau Malaya sudah lama ‘berkarat’

0
461
AKSI Malaysia (kuning) menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 September 2019 yang dimenangi pelawat 2-1.

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

LIGA Super dan Perdana masih belum pasti disambung 1 September ini selagi tiada kata putus Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedangkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah mengumumkan tarikh cadangan bagi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga hanya akan berakhir Selasa ini sedangkan laman sesawang rasmi AFC, the-afc.com hari ini melaporkan tiga perlawanan kelayakan itu yang melibatkan Harimau Malaya dicadangkan pada 8 dan 13 Oktober serta 17 November ini.

“AFC dalam rundingan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mengumumkan bagi baki pusingan kedua yang asalnya berlangsung pada Mac dan Jun ini.

“Keputusan terbaharu ini diambil dengan hasrat untuk melengkapkan pusingan kedua kelayakan pada November ini dan memulakan pusingan akhir (ketiga) kelayakan selepasnya di samping perlawanan play-off pada Mac 2021 mengikut kalendar antarabangsa FIFA,” lapor laman itu.

Skuad Tan Cheng Hoe akan menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai (8 Oktober), Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil (13 Oktober) dan Thailand (tempat lawan, 17 November ini).

BAGAIMANA Harimau Malaya mahu bertandang ke Dubai, Oktober ini jika MKN terus kenalan PKPB dan tahap kecergasan pemain merosot kerana Liga M dilarang disambung September ini.

Soalnya jika MKN masih melanjutkan tempoh PKPB yang turut melarang semua rakyat keluar negara dan penganjuran acara sukan yang bersentuhan badan, bagaimana Harimau Malaya mahu beraksi?

Bagaimana jika Liga Super dan Perdana pun masih tidak diluluskan MKN selepas tertangguh sejak 16 Mac lalu?

Mampukah 23 pemain Malaysia yang dipilih Cheng Hoe nanti mengharungi perlawanan kompetitif tahap 1 antarabangsa dengan kurang cergas kerana terlalu lama berkurung di rumah sahaja?

AFC telah meminda jadual asal pusingan kedua kelayakan ini kerana kebimbangan seluruh dunia kepada penularan pandemik maut Covid-19 iaitu 26 dan 31 Mac lalu serta Khamis dan Selasa ini.

Kalendar FIFA menetapkan semua perlawanan tahap 1 antarabangsa (pertandingan dan persahabatan) melibatkan pasukan kebangsaan hanya boleh dijalankan pada Mac, Jun, September, Oktober dan November setiap tahun.

Laman itu menambah, “AFC akan terus memantau situasi ini dengan rapat until memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pasukan, pegawai dan peminat serta pemegang taruh di samping sekatan perjalanan dan perubatan oleh kerajaan (negara-negara ahli gabungannya).

“Kami akan memaklumkan semua pihak sekiranya ada keperluan untuk menilai semula jadual-jadual perlawanan akibat impak yang terus berkembang daripada Covid-19,” lapor laman itu.

Harimau Malaya kini menghuni tempat kedua Kumpulan G kelayakan dengan memungut sembilan mata daripada lima perlawanan yang jika menjuarainya, akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di China.

Jika muncul naib juara kumpulan yang turut mengandungi Indonesia yang sudah kempunan tiket Qatar 2022, skuad negara masih perlu bergantung kepada tujuh naib juara kumpulan lain dalam merebut baki empat slot automatik pusingan akhir Piala Asia.

Dua belas pasukan yang mara ke Piala Asia 2023 juga akan meneruskan pemburuan tiket pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bersaing secara liga timbal balik.

Juara dan naib juara kumpulan pusingan ketiga kelayakan ini layak automatik manakala dua pasukan pemenang tempat ketiga, berentap dalam play-off timbal balik seterusnya menentang wakil benua lain dalam dua perlawanan play-off lagi.

Malaysia hanya pernah layak secara merit ke Piala Asia di Iran 1976 dan Kuwait 1980 selain automatik sebagai tuan rumah bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam bagi edisi 2007 namun masih kempunan ke Piala Dunia sejak menyertai kelayakan 1973.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here