Juara 400m berpagar Sukan SEAP ’69 meninggal dunia

0
3028

Oleh Abdul Hafiz Ahmad

BEKAS pemenang pingat emas 400 meter berpagar dan 4×400 meter Sukan SEAP, Allahyarham Zambrose Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah di kediamannya, Taman Perwira, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 76 tahun.

Dia dilahirkan pada 18 Januari 1944 di Seremban, Negeri Sembilan.

Sepanjang karier olahraga, dia pernah merangkul pingat emas 400m berpagar dalam Sukan SEAP 1969 di Rangoon, Burma (kini Yangon, Myanmar) dengan catatan 53.1 saat.

Dia menewaskan rakan senegara, A.S. Nathan pada perlumbaan temasya itu yang dua tahun terdahulu di Bangkok, mengatasinya dengan hanya kelebihan 0.2s iaitu 53.0s untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Zambrose mempunyai catatan peribadi terbaik, 52.8s dalam 400m berpagar.

Dia juga memenangi pingat emas 4x400m berganti-ganti pada Sukan SEAP Bangkok 1967.

Gandingannya ketika itu ialah G. Rajalingam, A.S. Nathan dan A. Victor mencatatkan 3 minit 13.7 saat di hadapan rangkaian pelari Thailand dan Singapura.

Sebutir pingat gangsa Sukan SEAP Rangoon 1969 turut berada dalam koleksinya dengan rangkaian 4x400m iaitu K. Jayabalan, A.S. Nathan dan P. Rengan yang mencatat 3:18.2s di belakang Singapura dan tuan rumah.

Zambrose juga pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Mexico 1968 namun gagal melepasi saringan kelapan pusingan awal 400m berpagar sambil merakamkan 53.23s.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-fatihah,” ucapnya dalam laman Twitternya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here