Pelantikan Ahmad Idham diharap rangsang ekonomi industri kreatif

0
735

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

BENARLAH kata pepatah Melayu, ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu’ dan apabila ia hadir dalam hidup kita itulah anugerah yang amat bermakna.

Apabila mendapat keistimewaan dan peluang begini, sudah tentu ia memberi semangat dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan tanpa mahu menoleh ke belakang.

“Biarlah apa yang terjadi sebelum ini saya simpan menjadi rahsia peribadi saya. Kini apa yang lebih penting saya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam menangani masalah industri kreatif yang amat berat ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

“Saya sedar sekarang adalah saat susah namun ia tidak mematahkan semangat saya dalam usaha merangsangkan kembali ekonomi industri kreatif tanahair setelah hampir tiga bulan aktiviti seni dihentikan bagi menyekat penularan penyakit ini,” kata Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika dihubungi BebasNews mengenai pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS yang baharu pada 5 Jun.

Menurut beliau, walaupun pernah melepaskan jawatan tersebut setelah menghantar surat memendekkan kontraknya kepada Ahli Perbadanan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) pada 4 Disember lalu kerana masalah peribadi namun beliau tidak mahu melepaskan peluang kedua ini.

Ahmad Idham diberitahu mengenai pelantikannya sebagai CEO setelah menerima panggilan telefon daripada Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid pada petang 5 Jun.

Pelantikan itu amat memeranjatkan beliau namun berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah diatas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Bagi Ahmad Idham pelantikannya sebagai CEO FINAS buat kali kedua ini mempunyai mesej yang tersendiri demi kepentingan industri kreatif tanahair.

Dengan pelantikan itu, Ahmad Idham akan menjalankan tugasnya secara kontrak selama dua tahun bermula 5 Jun 2020 sehingga 6 Jun 2022.

Sebelum ini, Ahmad Idham pernah dilantik sebagai CEO FINAS pada 11 Mac 2019 untuk tempuh kontrak selama dua tahun dan sepatutnya berakhir pada 10 Mac 2021.

Bagaimanapun disebabkan surat yang dihantar kepada Ahli Perbadanan FINAS, Ahmad Idham menamatkan tugasnya pada 10 Mac lalu.

Menurut Ahmad Idham bukan mudah untuk menjalankan tanggungjawab ini namun bersyukur kerana Menteri KMM memahami akan Dasar Industri Kreatif Negara dan hala tujunya.

“Dengan pengalaman saya sebagai orang di belakang tabir, saya yakin dapat menggalas amanah yang diberikan apalagi dengan Ahli Perbadan FINAS yang memahami polisi serta pembangunan dan kebajikan mereka didalam industri ini,” katanya.

Dalam memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, Ahmad Idham berjanji beliau akan turun padang untuk menyantuni masalah mereka di belakang tabir.

Beliau memberitahu mulai 10 Jun ini aktiviti penggambaran akan bermula dan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) kini berbeza sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya akan pastikan tidak akan timbul isu shooting dan tidak ada kompromi dalam soal SOP. Setiap penggambaran drama dan filem harus mematuhi SOP agar tidak menimbulkan risiko kepada kru dan artis yang terlibat,” tegas Ahmad Idham.

Ahmad Idham memberitahu dalam memastikan SOP dipatuhi, FINAS akan mengambil kira kriteria petugas yang bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan kru dan artis terjamin, mesti mempunyai kelayakan dalam bidang perubatan.

Menyentuh mengenai penjarakan sosial sehingga menimbulkan kebimbangan kru dan artis, beliau yakin itu bukan satu isu yang harus diperdebatkan.

“Bagi menangani isu ini pengarah haruslah kreatif. Dalam berdepan dengan pandemik Covid-19, saya pasti untuk merakamkan antaranya babak romantis antara pasangan kekasih tidak memerlukan pelakon berada dalam posisi yang rapat.

“Saya yakin dengan kreativiti seorang pengarah ia tidak akan menjejaskan kesihatan artis yang terlibat disamping memastikan jalan cerita sebuah drama atau filem menarik kerana pelbagai teknik penggambaran boleh digunakan.

“Saya setuju dengan pendapat seorang pengarah bahawasanya ‘film maker is a cheater.’ Dalam konteks ini ia membawa maksud tidak ada sesuatu yang mustahil untuk dihasilkan oleh seorang pengarah yang kreatif dan berpengalaman walaupun untuk menzahirkan babak bulan jatuh ke riba.

“Insyaa-Allah, saya yakin jika kita jaga kita dan patuhi SOP penggambaran drama dan filem akan berjalan seperti biasa dan secara tidak langsung ia mampu merangsangkan kembali ekonomi industri kreatif tanahair demi kelangsungan hidup mereka walaupun dalam pandemik Covid-19,” kata Ahmad Idham.

Menyentuh mengenai Ahli Perbadanan FINAS, Ahmad Idham amat bersyukur kerana kebanyakan mereka adalah pakar dan berpengalaman dalam industri kreatif antaranya Datuk Norman Abdul Halim, Datuk

Professor Dr. Abdul Razak Mohaideen, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Datuk Norhyati Haji Ismail.

“Sebenarnya apabila mendapat panggilan daripada Pengerusi FINAS, saya bersyukur kerana sepanjang perbualan itu saya tahu beliau adalah seorang yang tahu tentang polisi dan industri kreatif.”

Menyentuh mengenai impian Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid untuk memenangi Anugerah Oskar di luar negara yang mana menjadi bahan jenaka segelintir karyawan seni, Ahmad Idham berkata;

“Sebagai orang seni kita harus berfikiran positif agar impian itu menjadi kenyataan. Tidak ada yang mustahil jika kita berusaha dan yakin sesuatu itu adalah ketentuan-Nya.”

-BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here