Singapura tidak akan ‘tumbang’

0
708
FOTO: Wikimedia Commons/Cherie A. Thurlby, United States Department of Defense. / Public domain

PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memberi jaminan bahawa negara itu tidak akan ‘tumbang’ dalam usaha kerajaan menghadapi tempoh beberapa tahun akan datang yang penuh gangguan dan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Beliau mengakui Covid-19 bukan sahaja satu masalah kepada kesihatan awam tetapi juga masalah ekonomi, sosial dan politik yang serius.

“Yang jelas, beberapa tahun mendatang akan menjadi satu tempoh yang penuh dengan gangguan dan kesukaran bagi Singapura.

“Tetapi di sebalik cabaran berat yang kita hadapi, ini jaminan saya: jangan bimbang, kita tidak akan tumbang. Saya yakin kita mampu untuk menjamin masa depan yang cerah untuk Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap membuka tirai siri Siaran Nasional yang membentangkan rancangan masa depan negara pasca Covid-19 yang disiarkan di televisyen dan media sosial malam tadi, 7 Jun.

Melalui program ini, anggota Kabinet Singapura akan membentangkan perancangan kementerian masing-masing bagi menghadapi pasca Covid-19.

Bercakap dalam bahasa Melayu, Lee menggariskan tiga sebab sebagai jaminan masa depan yang cerah untuk rakyat Singapura.

Pertama, Singapura mempunyai kekuatan ekonomi dan nama baik di peringkat antarabangsa sejak berdekad; kedua, Singapura sudah mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang berbeza dan ketiga, mempunyai program dan perancangan untuk menangani cabaran yang ada termasuk mengekalkan pekerjaan dan mewujudkan pekerjaan untuk rakyat.

Katanya, ramuan terakhir yang kerajaan perlukan bagi memastikan perancangan itu berjaya, adalah perpaduan dan daya tahan rakyat.

Beliau juga mengajak rakyat menyesuaikan diri dengan masa depan yang sangat berbeza akibat kriksis berpanjangan yang dicetuskan oleh Covid-19 termasuk ekonomi sejagat yang hampir lumpuh dan pergerakan yang terbatas.

“Kita tidak akan kembali kepada ekonomi sejagat yang terbuka terhubung seperti sebelum ini dalam masa terdekat. Industri yang bergantung kepada perjalanan antarabangsa akan mengambil masa untuk pulih dan mungkin tidak pulih sepenuhnya,” katanya.

Lee mengingatkan rakyat supaya belajar hidup dalam persekitaran Covid-19 yang berpanjangan sehinggalah vaksin terhasil.

Katanya, banyak kebiasaan yang bakal berubah seperti pemeriksaan kesihatan dan kuarantin akan menjadi satu kebiasaan bagi membendung penularan wabak itu.

“Pada hujung minggu tidak lagi mudah untuk kita bergegas bercuti ke Kuala Lumpur atau Bandung menaiki pesawat tambang murah,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here