Pasar Bisik Kuala Muda Penaga sedia beroperasi semula tanpa “berbisik”

0
640
FOTO: NSTP.

KEPALA BATAS — Pasar Bisik Kuala Muda bersedia memulakan kembali operasinya namun tanpa kaedah “berbisik” dalam urus niaga sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  Pasar Bisik Kuala Muda Penaga, Yahaya Mohamed Ismail, selagi wabak COVID-19 belum berakhir, urus niaga akan menggunakan pemudah cara.

“Menerusi sistem ini, ahli jawatankuasa (AJK) akan berperanan sebagai pemudah cara dalam merundingkan urus niaga antara pembeli, peraih dan nelayan,” katanya ketika ditemui pemberita di pasar berkenaan hari ini..

Pasar itu sebelum ini diarahkan tutup selama tujuh hari bermula 1 Jun lepas setelah didapati tidak mematuhi SOP bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Pasar itu sepatutnya beroperasi semula hari ini, dan tinjauan Bernama di pasar itu mendapati pihak pengurusan telah menyediakan tiga khemah bagi menempatkan pembeli, peraih dan nelayan.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata 18 AJK akan terlibat mengawal selia pematuhan SOP di pasar itu yang turut merangkumi pengambilan suhu badan pengunjung, peraih dan nelayan.

Menerusi pelaksanaan SOP secara menyeluruh itu Yahaya berharap pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan membenarkan operasi pasar bisik tersebut dibuka sepenuhnya berikutan buat masa ini nelayan yang terkesan tidak dapat turun ke laut.

“Dengan pemantauan rapi dan pematuhan SOP yang ketat di sini, kami berharap pasar bisik ini dapat kembali beroperasi seperti sedia kala kerana banyak nelayan yang terjejas akibat  pandemik COVID-19,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here