Selamat tinggal Istana Budaya – Abang Jo

0
3334
MOHAMED Juhari Shaarani buat pertama kalinya akan ‘punch-out’ punchcard pada 5 petang hari ini:

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

SETELAH 13 tahun menabur bakti sebagai Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), hari ini 9 Jun buat pertama kalinya tepat pukul 5 petang, Datuk Mohamed Juhari Shaarani akan ‘punch-out’ kad yang mencatatkan kedatangan dan kepulangannya setiap hari selama ini.

Sesuatu yang tidak pernah dilakukan kerana selama ini beliau akan ‘punch-in’ sebelum pukul 7 pagi dan ‘punch-out’ pukul 12 tengahmalam. Bagaimanpun pada hari ini beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ‘rumah pertamanya’ ini kerana hari ini adalah hari terakhir beliau sebagai penjawat awam.

Itulah Mohamed Juhari Shaarani,60, atau lebih mesra dengan panggilan Abang Jo bagi wargakerja IB serta mereka yang mengenalinya dan sering ke Panggung Sari, IB untuk menonton persembahan teater atau konsert.

Sifat mesranya yang rengan mulut dan tidak lokek dengan senyuman menyambut setiap tetamu VVIP dan para wartawan serta pengunjung di IB membuatkan Abang Jo amat dikenali dan disayangi kerana sifat mesra media dan mesra alam (kerana sifat ramah dan menghormati semua penonton IB).

“Sedih memang sedih kerana IB ini bagaikan rumah pertama Abang Jo selama ini. Semasa tinggal di Bangsar paling lambat Abang Jo keluar rumah selepas Subuh kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalulintas tetapi adakalanya Abang Jo solat Subuh di IB dan selalunya pukul 12 tengahmalam baru balik. Itulah rutin harian Abang Jo selama 13 tahun menjadi Ketua Pengarah.

SETIAP hari Mohamrd Juhari Shaarani akan ‘punch-in’ sebelum pukul 7 pagi. Kemudian beliau akan berjogging di sekitar Tasik Titiwangsa sekurang-kurangnya 40 minit sebelum memulakan tugas pada 9 pagi.

“Jika tidak ada show atau pementasan teater, Abang Jo tetap balik pukul 12 tengahmalam kerana Abang Jo akan membaca semua skrip teater yang akan dipentaskan di IB.

“Tetapi hari ini Selasa, 9 Jun 2020 buat pertama kalinya Abang Joe akan ‘punch-out’ kad pada waktunya dan mengucapkan selamat tinggal kepada IB yang selama ini menjadi tempat Abang Jo mencari rezeki dan berbakti untuk warga Malaysia yang sentiasa menyokong persembahan di IB,” cerita Mohamed Juhari kepada BebasNews ketika ditemui di IB Khamis lalu.

Dalam pertemuan selama tiga jam itu, walaupun ayah kepada tiga orang anak, Fatin Atilia,31, Filza Athira,26, Fazwa Atiqa,22, dan suami kepada Bekas Penolong Pengurus Besar Telekom Malaysia, Datin Nor Hashimah Haron,59, cuba menyembunyikan sayu dihatinya tetapi kadangkala suara sebaknya tidak mampu menyembunyi gelora di hatinya.

Mohamed Juhari Shaarani memulakan kariernya sebagai Ketua Unit Kumpulan Budaya Negara yang mengendalikan kumpulan artis tari di Kompleks Budaya Negara pada tahun 1997.

Apabila Panggung Negara ( kini dikenali Istana Budaya) siap pada tahun 1999, beliau berpindah ke IB dan pada 2001 beliau dilantik sebagai Pengarah Produksi.

Pada April 2007, Mohamed Juhari dilantik sebagai Ketua Pengarah IB menggantikan Datuk Azhar Abu Bakar (2005 – Mac 2007). Sebelum Datuk Azhar, Ketua Pengarah IB adalah Profesor Dr. Mohamad Hatta Azad Khan (2001 – 2005).

Mohamed Juhari merupakan Ketua Pengarah IB yang ketiga dan paling lama bertugas dengan Istana Budaya (sebelum ini dikenali Panggung Negara dan beliau berkhidmat di jabatan lain selama 10 tahun).

Jika sebelum ini, IB di bawah Hatta Azad Khan dan Datuk Azhar Abu Bakar banyak mementaskan karya hebat teater yang diarahkan oleh pengarah teater tersohor antaranya Datuk Noordin Hassan, Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim, Hatta Azad Khan, Zakaria Ariffin, Datuk Zahim Al-Bakry dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Namun kehadiran Mohamed Juhari telah membawa gelombang baru buat IB apabila ia membuka ruang kepada orang filem ke pentas Istana Budaya pada tahun 2008.

DUDUK dari kiri: Filza Atira, Mohamed Juhari Shaarani, Fatin Atilia, Nor Hashimah Haron dan Fazwa Atiqa.

Sudah tentunya Teater Impak Maksima The Musical yang diterbit dan diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri mencatat sejarah tersendiri kerana filem pertama yang dibawa ke Panggung Sari, IB.

Impak Maksima The Musical yang dipentaskan pada tahun 2008 selama 12 hari bermula 11 November dengan 14 show telah mencatat sejarah tersendiri apabila ditonton oleh 12,989 orang.

Bukan itu sahaja malah bermula dari itulah IB yang selama ini dikatakan hanya ditonton mereka yang mempunyai kelas tersendiri mula didatangi oleh remaja, Mat Motor dan masyarakat biasa.

Sejak itulah, Mohamed Juhari dikatakan satu-satunya Ketua Pengarah IB yang membuka ruang IB untuk ‘golongan marhaen.’

Betapa tidak IB pada era Mohamed Juhari juga membuka ruang pementasan untuk P. Ramlee The Musical dengan 20 persembahan dan mencatatkan penonton seramai 20,954 orang dengan purata setiap show ditonton seramai 1,048 dan dianggap ‘full house’ setiap show!

“Walaupun ada yang menganggap Abang Joe membuka ruang kepada golongan marhaen namun pada waktu yang sama Abang Joe turut dibantai teruk (dikritik) kerana membawa drift ke Panggung Sari!

“Namun setiap teguran itu Abang Jo terima dengan fikiran terbuka. Tetapi sesuatu yang Abang Jo belajar apabila orang filem mementaskan teater segalanya ada penaja dalam setiap babak yang dipentaskan!

“Memang meriah pementasan ketika itu kerana pakaian, babak makan, kereta semua ditaja dan ini menunjukkan teater kita ada kelas tersendiri!,” cerita Mohamed Juhari mengimbau kembali permulaan IB dibawah kendaliannya.

Selain Impak Maksima The Musical, P. Ramlee The Musical, Musical Broadway Mama Mia, IB juga turut memberi peluang kepada produksi Cina tempatan mementaskan muzikal teater berskala besar Jewel of Tibet The Musical.

Manakala Teater Musical Broadway Mamma Mia mencapai bilangan penonton tertinggi seramai 30,000 orang dengan 24 show yang mana setiap show mencatat penonton seramai 1,250 orang.

“Walaupun tahun 2008, Abang Jo dikatakan membuka ruang IB untuk golongan marhaen, dikecam kerana membawa drift ke Panggung Sari tetapi tahun itu jugalah IB mencatat zaman kegemilangannya.

“Bukan itu sahaja, malah Abang Jo bersyukur dan berterima kasih kerana kebanyakan persembahan konsert di IB banyak mendapat kerjasama akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi yang menyiarkan setiap persembahan di muka hadapan akhbar berkenaan. Alhamdulillah,” kata Mohamed Juhari.

Selain filem, IB juga membuka ruang kepada pementasan lawak antaranya Lawak ke Der dan Cuci The Musical.

Bukan itu sahaja, malah IB juga membuka ruang untuk konsert rock seperti Opera Hidup Wings yang berjaya mencatat jualan tiket sebanyak RM1juta.

Sementara Konsert Search mencatatkan sejarah tersendiri apabila mereka berani menjual tiket dengan harga RM888 dan ianya habis dibeli oleh para peminat setia Search.

Sementara Konsert Rosa turut melakar sejarah apabila separuh daripadanya seat di Panggung Sari dengan tiket berharga RM1,500 habis dijual.

Konsert Alleycats dan Konsert D’Llyod juga antara konsert yang mendapat sambutan para peminat kerana lagu-lagu evergreen mereka.

Manakala Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mencatatkan sejarah manis apabila muncul sebagai satu-satunya artis yang muncul dalam enam konsert sepanjang 13 tahun Mohamed Johari menerajui Istana Budaya.

“Abang Jo kagum dengan Jamal kerana setiap kali mengadakan konsert beliau mempunyai idea dan konsepnya yang tersendiri sebab itulah konsert Jamal sentiasa penuh,” puji Mohamed Juhari.

Bukan itu sahaja, malah tiga bulan 15 hari sebelum beliau bersara Konsert Kesuma Jiwa pada 20 Februari. yang menampilkan Datuk Rizalman dan Dayang Nurfaziah pada 22 Februari lalu melakar kenangan manis bagi Mohamed Juhari apabila tiket sebanyak 1,400 habis dijual dalam tempuh 20 minit.

Apabila ditanya sepanjang menerajui IB apa yang sentiasa mengganggu fikirannya, tanpa berselindung Mohamed Juhari berkata;

“Istana Budaya ini bagaikan jiwa raga Abang Jo. Hati Abg Jo gundah gulana jika show di Panggung Sari tidak penuh!

“Abang Jo bersyukur kerana kebanyakan show di IB mendapat sambutan ramai. Ribuan terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan terutama para wartawan hiburan yang sentiasa memberi kerjasama yang amat baik kepada Abang Jo dan IB.

“Walaupun Abang Jo dah bersara harapan Abang Jo kerjasama itu akan berkekalan dan berharap IB akan terus mendapat tempat di hati penonton walau siapapun Ketua Pengarahnya. Selamat tinggal dan terima kasih Istana Budaya.

BebasNews
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here