Oleh Datuk Rejal Arbee
SEJAK akhir-akhir ini, saya telah beberapa kali menimbulkan persoalan baik di sini mahu pun dalam beberapa blog lain tentang ke mana perginya begitu ramai penduduk asli Amerika Syarikat, ‘Red Indian?

Mereka adalah penduduk asal sebahagian Amerika Utara yang dinamakan Amerika Syarikat dan terdiri daripada suku etnik Apache, Comanche, Arapahoe, Mohican dan lain-lain.

Mereka merupakan kaum pribumi negara itu.

Yang menghairankan di mana mereka sekarang hingga jarang ditonjolkan? Keadaan kini seolah-olah mereka telah pupus dan lenyap dari muka bumi ini begitu sahaja.

Gambaran sekarang yang kita lihat seperti puak asli AS itu tidak pernah wujud di bumi  walaupun asalnya jumlah mereka beratus ribu.

Seperti mana masyarakat asli itu, begitu juga dengan kerbau bison, spesies endemik di benua Amerika Utara yang kian pupus walaupun sebelum kedatangan penjajah kaum kulit putih dari Eropah dan Britain haiwan tersebut begitu membiak di wilayah-wilayah Texas, New Mexico, Arizona, Colorado, Nebraska dan lain-lain.

Kerbau bison pernah berkeliaran dengan begitu banyak di kawasan dataran tengah Amerika Utara bersama pelbagai kelompok kaum etnik Red Indian.

Spesies kerbau ini pupus kerana diburu dengan rakusnya oleh pendatang kulit putih bukan sekadar untuk dijadikan sumber makanan, malahan untuk riadah dan mendapatkan kulitnya bagi tujuan komersial.

‘Kepupusan’ masyarakat Indian menimbulkan persoalan sama ada ia sebenarnya merupakan tragedi genosid (pembunuhan beramai-ramai) atau pembersihan etnik yang bertujuan bagi menyerlahkan kedudukan dan kuasa kaum kulit putih.

Selain itu, rekod sejarah yang tidak ditokok tambah turut membuktikan bahawa kaum Red Indian ini dibiarkan hidup dalam keadaan daif dan sentiasa terbabit dengan gejala sosial, seperti penyalahgunaan dadah dan alkoholisme.

Mereka ditempatkan di kawasan-kawasan penempatan khas di atas dakwaan kononnya untuk menjaga kepentingan rumpun etnik, walhal apa yang berlaku bukan sebegitu sebenarnya. Mereka begitu teraniaya tanpa pembelaan walaupun di sana-sini diwujudkan kesatuan dan badan-badan yang cuba bersuara untuk menegakkan keadilan.

Tetapi, apa pula dengan sikap dan perangai sesetengah rakyat AS, terutama kaum kulit putih?

Berpunca daripada penyisihan dan diskriminasi licik terancang oleh pihak kerajaan AS sejak berzaman, sentimen negatif terhadap kaum asli AS diperturunkan hingga ke hari ini dan kekal menebal dalam ketamadunan kaum kulit putih.

Walaupun puak yang terlibat dalam proses diskriminasi dan penyisihan kaum asli Red Indian tidak dilihat sebagai sesuatu yang penting untuk didedahkan demi keadilan dan kemanusiaan, namun yang pentingnya ialah supaya rekod sejarah hitam membabitkan pemangsaan masyarakat asal bumi Amerika Syarikat  itu menjadi catatan sejarah sebenar.

Hakikatnya, Amerika Syarikat yang wujud sekarang dibangunkan di atas titisan darah dan penderitaan kaum asli Red Indian di tangan kaum penjajah kulit putih sendiri.

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here