84 hari selepas Allah SWT ‘mengajar’ kita

0
596
FOTO: NSTP.

HARI ini hari ke-84, hari terakhir rakyat Malaysia berada dalam kehidupan yang akan dikenang sebagai satu sejarah yang amat bermakna. Hidup di luar kebiasaan dalam pelbagai sekatan mulai 18 Mac. Dalam tempoh Itu, kita muhasabah menilai diri untuk memperbaiki diri sendiri.

Terlalu banyak pengajarannya. Dalam resah dan cemas terselit pengalaman amat bermakna. Situasi yang dihadapi bukan dalam peperangan yang memerlukan senjata yang canggih untuk membunuh musuh. Sebaliknya kita berperang dengan virus, tidak seperti jentik-jentik aedes yang mudah dimusnahkan.

Selepas enam bulan, Covid-19 ‘tidak peduli’ dengan senjata perang yang canggih sama ada di darat, laut dan udara. Amerika Syarikat yang memiliki senjata perang yang terhebat sebaliknya menjadi sasaran paling hebat Covid-19 dengan jumlah jangkitan mencecah 1.95 juta dan kematian 111,900.

Begitulah hebatnya bencana yang dibawa musuh yang tidak menampakkan wajah sebenarnya di alam nyata.

Sebagai orang Islam, apa yang terjadi ini adalah di bawah pengetahuan Allah SWT. Tiada sesiapapun dapat melangkaui ilmu Allah SWT. Musibah ini sebagai rahmat dan sudah pasti kita akan bersangka baik bahawa Covid-19 ini adalah ruang untuk Allah melipatgandakan lagi ganjaran kepada hambanya yang sabar.

Firman Allah dalam surah al-Taghaabun ayat 11 yang bermaksud : “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu,”

Lebih bermakna, umat Islam terutama di Malaysia diberi kesempatan ‘hidup’ dalam tiga suasana. Pertama pada hari-hari biasa, kedua semasa puasa Ramadan dan ketiga semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tiga suasana ini mengajar kita mengenai kesabaran dan keinsafan.

Sabar dengan sekatan yang menghalang kita keluar bekerja, berniaga, balik kampung, ke masjid dan surau, makan minum di restoran, melancong, membeli-belah, menonton wayang, mesyuarat, kenduri kahwin, perhimpunan, bersukan bersalaman dan macam-macam lagi yang tidak mampu dituliskan satu persatu.

Bekerja di rumah, tidak ada lagi balik lewat sama ada banyak kerja atau tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Solat di rumah, menjadi imam Tarawih, khatib khutbah hari raya. Ramai jadi tukang masak di rumah. Tiada pembaziran di bazar Ramadan. Khatam al-Quran lebih cepat. Tiada langsir atau baju baharu untuk berhari raya.

Pendek kata, rumah ku syurga ku ada kebenarannya. Rumah bertukar menjadi pejabat, masjid, sekolah, restoran, siber kafe, dan macam-macam lagi. Kita juga diminta untuk menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan wabak ini. Kerap basuh tangan menggunakan sabun dan hand sanitizer.

Semua ini pengajaran. Benarlah Allah SWT sedang mengajar kita tentang pelbagai perkara dalam kehidupan apabila sesuatu yang menjadi kelaziman tidak dapat dilakukan sesuka hati walaupun melibatkan ibadat kepada-Nya..

Selepas 84 hari duduk di rumah, ketika PKP dan PKPB itu pernahkah terlintas di fikiran tentang ‘hari terakhir’ kita melakukan sesuatu sama ada baik atau buruk. Adakah kita kesal dan rasa bersalah? Setiap hujung Ramadan, kita sering berdoa agar itu bukan Ramadan terakhir.

Begitu juga selepas umrah dan ziarah, doa kita agar itu bukan yang terakhir.
Jika umrah, ziarah dan puasa itu sesuatu yang kita tahu pengakhirannya tetapi dalam kehidupan seharian ini, kita tidak pasti bilakah kali terakhir sesuatu peluang itu datang atau boleh berulang.

Berapa ramai yang menganggap sebelum PKP @ PKPB itu sebagai detik akhir kehidupan. Dan menyusul satu ‘kematian sementara’. Waktu itu membuatkan kita tertanya-tanya, adakah solat Jumaat 13 Mac (bagi yang solat) bersamaan 18 Rejab itu sebagai solat Jumaat terakhir? Bila pula peluang solat Jumaat itu akan kembali?

Apabila masjid dan surau ditutup, adakah kehadiran di masjid atau surau pada 17 atau 18 Mac itu sebagai yang terakhir? Siapa sangka, bagi yang singgah sekali sekala di masjid atau surau akhirnya terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk kembali ke sana. Itu pun jika timbul keinsafan.

Ketika masjid dan surau ditutup, maka terhenti seketika suara sumbang jemaah yang saban hari berjemaah tetapi merungut banyak hal, dari isu ahli jawatankuasa kepada soal duit tabung, hal penceramah, kemudahan, disiplin kanak-kanak dan macam-macam lagi.

Apabila kita dilarang balik kampung, adakah kita bertanya bilakah kali terakhir balik kampung? Adakah Ramadan dan Syawal setahun yang lalu menjenguk ibu bapa di sana? Kenapa hanya menjenguk ibu bapa pada hari raya? Kenapa tidak setiap kali ada peluang? Akhirnya Allah SWT menguji kita di saat Ramadan dan Syawal.

Bagi yang berniaga pula, terfikirkah apa pengajarannya apabila Allah SWT menarik seketika rezeki selama ini? Adakah keuntungan yang diperoleh sebelum ini benar benar ‘suci dan bersih’. Adakah selepas ini kita akan mengejar keuntungan dengan cara yang salah untuk menampung ‘kerugian’ sepanjang 84 hari lalu?

Apa pula hikmah di sebalik ‘penutupan’ Makkah dan Madinah? Kenapa Allah SWT tidak mengecualikan dua kota suci ini supaya umrah dan ziarah berterusan? Betapa besar kesannya kepada agensi yang mengatur perjalanan umrah, pengusaha hotel, peniaga dan pelbagai lagi yang mengaut keuntungan hasil kunjungan jemaah yang tidak pernah berkurangan.

Bayangkan juga berapa ramai tukang gunting rambut di Makkah hilang pendapatan selama ini, apabila tidak ada kepala yang mahu dibotakkan selepas selesai umrah.

Apakah pengajaran di sebalik susana lengang di dua masjid suci itu terutama ketika orang ramai berasak-asak untuk mendapatkan ruang solat di Raudhah. Apakah pengajarannya apabila tiada lagi tolak menolak untuk mengucup Hajarul Aswad? Pastinya ada sesuatu yang perlu kita renungi dan ambil sebagai pengajaran.

Covid-19 terlalu banyak mengajar kita. Semoga 84 hari yang lalu bukan sahaja mengajar kita mengenai kesihatan tetapi tanggungjawab terhadap agama dan sesama manusia. Semoga kita berubah daripada kelaziman biasa kepada norma baharu yang lebih terbimbing.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here