Di sebalik COVID-19, minat rakyat China dengan durian Malaysia tetap utuh

0
694
FOTO:NSTP.

KUALA LUMPUR  — Durian Malaysia kekal menjadi pilihan dan rebutan dalam kalangan rakyat China, yang dipacu dengan permintaan kukuh terhadap raja buah itu.

Penasihat Komersial di Kedutaan China di Malaysia, Shi Ziming, berkata minat rakyat China terhadap durian tetap tidak berkurang meskipun rantaian bekalan di Malaysia terjejas pada awal 2020 kerana pandemik COVID-19 dan permintaan kembali pulih apabila wabak di negara itu berjaya dikawal.

Ini kerana durian Malaysia menjadi pilihan pembeli di China untuk dijadikan sebagai hadiah premium kepada rakan dan keluarga.

“Tekstur dan rasa durian Malaysia tiada tandingannya di dunia. Ia selalunya dibeli sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan,” kata Shi kepada Bernama.

China mengimport sebanyak 600,000 tan durian bernilai US$1.7 bilion (RM7.24 bilion: US$1 = RM4.26) pada 2019.

Bagaimanapun, import durian dari Malaysia menyumbang peratusan yang sangat kecil di pasaran China.

Setakat ini, durian Malaysia hanya terdapat di beberapa bandar utama di China dan hanya boleh dibeli melalui platform dalam talian.

Menurut statistik Kedutaan, China mengimport 3,200 tan isi durian sejuk beku dan pes dari Malaysia – berjumlah US$41 juta pada  2018.

Kelulusan mengeksport durian dalam bentuk biji (whole fruits) bermula pertengahan 2019 mencetuskan lonjakan eskport berjumlah 7,700 tan (termasuk isi dan pes)  pada 2019 bernilai US$67 juta.

Walaupun berlakunya wabak dan di luar musim, eksport durian Malaysia ke China pada suku pertama 2020 sama dengan tempoh sebelumnya – US$ 22 juta, katanya.

“Ini menunjukkan eksport durian Malaysia ke China tidak terjejas meskipun pada luar musim”.

Shi berkata penjualan durian di Malaysia meningkat sepuluh kali ganda menjelang akhir Mac berikutan promosi platform buah segar e-dagang China, FreshHema, dan mencecah RMB4.35 juta (RM2.62 juta) di platform makanan bawa pulang, Meituan Waimai pada 20 Mei.

Presiden Persatuan Peladang Makanan Malaysia (Bahagian Belia), Francis Hong, berkata eksport durian ke China pada masa ini menyumbang hampir 80 peratus – bekalan baharu untuk musim (Mei hingga Julai atau Ogos) – dijangka meningkat dan dapat memenuhi permintaan pasaran China.

“Seperti sektor lain, kita juga turut terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Tetapi sekarang keadaan semakin baik; dan dengan musim baharu bermula, kami berharap dapat menuai hasil yang banyak, tetapi (pengeluaran) kali ini sangat bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Hong, yang juga mengeksport durian ke China, berkata pasaran durian Malaysia di China hanya kira-kira 10 peratus – terutamanya dijual di Shanghai, Guangzhou, Guangdong dan Beijing.

Malaysia hanya mengeksport durian premium ke China – termasuk Musang King yang terkenal, 101 dan D24.

Dianggarkan sekilogram Musang King boleh menjangkau harga sehingga RMB200-RMB300 (RM120-RM180), kata Hong.

Seorang usahawan, Fred Lim, mengatakan walaupun pengeluaran dan penjualan duriannya  terjejas akibat wabak, beliau tetap optimis dan yakin keadaan akan pulih tidak lama lagi.

Beliau berkata wabak COVID-19 awal tahun ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan perniagaan duriannya merosot 50 peratus, sementara pendapatannya berkurang dari RM5 juta sebulan sebelum ini kepada RM2.5 juta.

Lim telah mengeksport isi dan pes durian ke China sejak 2010.

“Pengeluaran terjejas teruk, semoga keadaan akan pulih seperti biasa.

“Saya juga berharap MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menganjurkan misi perdagangan ke China tidak lama lagi supaya kita dapat menyertai dan memanfaatkan pasaran yang lebih besar di sana,” katanya.

Sementara itu, Shi menambah dengan prospek yang baik di China, pihak berkepentingan tempatan boleh meneliti kaedah terbaik untuk mempromosikan durian di negara itu.

“Bagi saya, durian Malaysia mengalami kekurangan bekalan untuk pasaran di China dan saya berharap pembekal dan pengeksport Malaysia dapat  melancarkan pasaran dan aktiviti promosi supaya durian (Malaysia) dapat dinikmati lebih ramai orang di China,” kata Shi.

Beliau juga menggesa pengusaha Malaysia memperkenalkan lebih banyak jenis produk makanan berasaskan durian untuk pasaran China.

“Disebabkan durian Malaysia popular dan terus berkembang di China, ia mempunyai potensi yang amat luas ,” kata Shi.

— BERNAMA

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here