Oleh Arrazaq Nazri

SHAH ALAM — Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal mendirikan Kompleks Arshad Ayub di tapak Kolej Kediaman Jati di Seksyen Dua di sini tidak lama lagi.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim, kompleks yang bernilai RM140 juta tersebut akan menempatkan Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS, pusat komersial dan pusat penyelidikan).

“Hari ini kita menerima sumbangan daripada pihak korporat dan juga alumni sebanyak RM313 ribu. Sebelum ini kita telah menerima dana sebanyak RM125 ribu.

“Pembinaan kompleks seluas 280 ribu kaki persegi tersebut akan tetap diteruskan mengikut fasa walaupun kos yang diperlukan masih belum mencukupi,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima sumbangan daripada wakil Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Datuk Abdul Razak Abdul, wakil Alumni Diploma Perhutanan UiTM, Prof.Dr.Razali Abd.Kader dan dari Pengerusi Eksekutif Ladang MOCCIS Sdn.Bhd.,Datuk Ahmad Sobri Wan Teh.

Yang hadir sama ialah Pro Canselor, Tan Sri Dr. Arshad Ayub.

Arshad berkata, beliau amat berbesar hati dengan pembinaan kompleks pelbagai guna tersebut dan akan berusaha membantu pihak UiTM untuk mengumpul dana yang diperlukan.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang melibatkan pelajar Insitut Pengajian Tinggi termasuk UiTM, Arshad berkata, pelajaran harus diteruskan walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

“Kita ada kaedah lain pengajaran dan pembelajaran iaitu melalui dalam talian. Tidak kiralah ia melibatkan IPT tempatan atau luar negara.

“Jangan bagi alasan tidak boleh belajar kerana selain pendidikan di dalam kelas sebenar. Jika ada medium lain yang tidak memudaratkan, sesi pembelajaran harus diteruskan dengan norma baharu,”katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here