Jaga ‘kehidupan yang disambung semula’

0
442
SEKUMPULAN kanak-kanak bersiar-siar di sekitar pantai setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan kerajaan di Pantai Batu Burok hari ini. Kerajaan Malaysia telah memulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Sehingga hari ini, jumlah jangkitan COVID-19 seramai 8,338 pesakit dengan 118 kematian direkodkan setakat hari ini. --fotoBERNAMA

SEMALAM, 10 Jun 2020, bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), susulan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). PKPP memberi banyak kelonggaran terutama yang berkaitan pembukaan semula sektor ekonomi, pekerjaan dan pendidikan.

Begitu juga dengan ibadah atau aktiviti keagamaan, rentas negeri dan pelancongan domestik. Maka kehidupan perlahan-lahan kembali kepada suasana sebelumnya walaupun dengan norma baharu. Di jalan raya, kenderaan mula bergerak perlahan, di kedai gunting rambut ramai yang menunggu giliran dan peniaga mula sibuk.

Pemulihan membawa maksud memulihkan atau mengembalikan sesuatu keadaan seperti sebelumnya. Bagaimanapun memulihkan sesuatu bukanlah satu kerja mudah terutama berkaitan ekonomi. Ramai yang terjejas pendapatan dalam tempoh tiga bulan ini, malahan tidak kurang juga yang hilang pekerjaan.

Dalam ‘meraikan’ PKPP ini, jangan lupa prosedur operasi standard (SOP), ayat atau pesanan yang tidak pernah dilupakan setiap kali Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah muncul bercakap di televisyen.

Begitu juga pendekatan 3W yang merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn) seperti elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala.

Elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Adakah rakyat bersedia atau bersungguh-sungguh mematuhi SOP? Bukan mudah memulih sesuatu yang sudah ‘rosak atau cedera’ untuk kembali kepada keadaan sebelumnya. Hasilnya belum pasti, sama ada lebih baik atau lebih teruk.

Justeru berhati-hati ketika kita mahu ‘memulihkan semula kehidupan’, jangan ada ruang untuk Covid-19 merosak atau menjejaskan ‘kejayaan’ duduk di rumah hampir tiga bulan. Jangan biarkan fasa pemulihan PKPP ini berpatah balik kepada PKP atau PKPB.

Masih terlalu jauh untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini. Kita belum menang sepenuhnya. Tiada siapa boleh meramalkan bilakah pandemik ini akan berakhir. Yang pasti ia masih menular. Seperti kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, menghadapi Covid-19 bukan seperti larian pecut tetapi marathon!

Semalam, hari ini, esok dan hari-hari seterusnya, ramailah yang akan mengambil kesempatan merentas negeri untuk ‘berhari raya’ di kampung kerana Syawal masih berbaki. Tidak kurang juga yang melancong dalam negeri ketika anak-anak masih belum bersekolah sepenuhnya. Sedikit sebanyak ‘pergerakan’ ini ada kesannya.

Dalam menjalani pemulihan ini, kita perlu mengimbangi keperluan untuk hidup dengan kesihatan atau nyawa. Kehidupan perlu diteruskan biar pun dibatasi SOP tetapi kesihatan juga perlu dijaga kerana Covid-19 bukan soal individu tetapi juga orang sekeliling kita sama ada keluarga, rakan-rakan, masyarakat dan negara.

Justeru, biarlah SOP itu menjadi salah satu rukun kehidupan tanpa perlu dipaksa atau diperingatkan oleh pihak berkuasa sehingga dikompaun. Wujudkan kawalan kendiri seperti yang sering diperingatkan oleh menteri kita. Kalau tidak diri sendiri, siapa lagi nak jaga diri kita.

SOP satu kelaziman baharu yang tidak boleh diremehkan. Semua pihak jangan sesekali bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau mematuhi sekadar ada. Patuhi SOP di mana sahaja.

Bagi yang balik ke kampung atau bercuti, banyak lokasi yang menuntut pematuhan SOP bermula dari rumah hingga tiba di destinasi. Di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), ada SOP ketika membeli makanan, ke tandas, surau. Bersabarlah. Jangan remehkan walaupun akan ada manusia yang cuba menunjukkan kekebalan dan keangkuhan terhadap SOP.

Bersedia untuk kawalan kendiri di kampung. Budaya kita setiap kali berjumpa terutama pada musim raya, salam dan peluk cium sudah jadi lumrah. Maka beringatlah lebih-lebih lagi melibatkan kanak-kanak dan warga emas. Cukuplah ‘bersalam’ cara baharu sambil memberi ucapan dan senyuman.

Ingatlah, kita tidak tahu siapa pembawa atau penyebar dan siapa pula yang akan menerima Covid-19 lebih-lebih lagi kes yang tidak ada simptom. Cukuplah ‘bersalam’ cara baharu sambil memberi ucapan dan senyuman.

Begitu juga apabila berada di masjid atau surau dan berkunjung ke rumah saudara mara, menjamu selera di restoran dan sebagainya. Sesuatu yang sebelum ini menjadi kebiasaan perlu diubah. Disiplinkan diri dengan norma baharu.

Tugas kita belum selesai. Tanamkan dalam ingatan bahawa Covid-19 sentiasa menunggu peluang untuk menjangkiti kita.

Ketika kita sedang ‘menyambung kehidupan’ dengan norma baharu’ ini,ambillah ingatan Dr. Noor Hisham ini : Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, kita jaga negara kita. Kalau bukan kita siapa lagi.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here